HONDA EV Outlier Concept, Filem Jenama Honda Rangkul Anugerah Red Dot 2026!

Honda EV Outlier Concept, diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Konsep Reka Bentuk, manakala filem jenama perniagaan motosikal elektrik Honda bertajuk "What Is a Motorcycle? / Electric Motorcycles" memenangi kategori Reka Bentuk Jenama & Komunikasi

TERKINI

8/26/20261 min read

HONDA terus melakar kecemerlangan di pentas antarabangsa apabila berjaya merangkul dua Anugerah Reka Bentuk Red Dot 2026 yang berprestij menerusi inovasi kenderaan elektrik (EV) dan kempen komunikasi visual jenama itu.

Model konsep motosikal masa depannya, Honda EV Outlier Concept, diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Konsep Reka Bentuk, manakala filem jenama perniagaan motosikal elektrik Honda bertajuk "What Is a Motorcycle? / Electric Motorcycles" memenangi kategori Reka Bentuk Jenama & Komunikasi.

Bagi EV Outlier Concept, ia bukanlah sekadar kesinambungan kepada motosikal sedia ada, sebaliknya sebuah model konsep yang membawa visi baharu dunia pemotoran melangkaui tahun 2030.

Model yang membuat kemunculan perdana global di Japan Mobility Show pada Oktober 2025 ini berjaya menerima reaksi luar biasa daripada pengunjung.

Memanfaatkan kebebasan rekaannya yang unik untuk motosikal elektrik, jentera futuristik ini dilengkapi 'motor dalam roda' pada kedua-dua tayar depan dan belakang, sekali gus menghasilkan gaya profil yang dinamik dan rendah.

Berteraskan tema rekaan motosikal elektrik Honda, iaitu 'Ketepatan Reka Bentuk Intrinsik', ia direka tanpa sempadan konvensional di mana posisi tunggangan direndahkan pada tahap ekstrem bagi menawarkan pandangan yang mengujakan serta sensasi pecutan.

Gabungan permukaan licin dan badan 'smoke-clear' menonjolkan ekspresi mekanikal jentera ini, mencipta ilusi meluncur di udara dengan mudah.

Sementara itu, filem jenama pemenang anugerah Honda pula membawa penonton mendalami janji jenama pembuat kenderaan itu: 'Expected life. Unexpected discoveries'.

Menerusi visualisasi sinematik yang memaparkan kuasa senyap, kawalan intuitif dan kestabilan luar biasa, filem itu menterjemahkan keharmonian antara kecerdasan manusia dan mesin. Ia menonjolkan bagaimana ekosistem mobiliti masa depan mampu mencipta dunia yang penuh dengan keselesaan, ketenangan, serta keterujaan untuk penunggang moden.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Operasi, Pusat Reka Bentuk Honda R&D Co. Ltd., Toshinobu Minami, menyifatkan kemenangan ini sebagai satu penghormatan besar buat syarikat berkenaan.

"Anugerah Reka Bentuk Red Dot adalah salah satu anugerah paling berprestij di dunia. Kemenangan ini merupakan pengiktirafan terhadap inisiatif kami dalam menjangka keperluan masa depan dan menterjemahkannya ke dalam bentuk nilai baharu yang mendahului zaman.

"Honda akan terus mencipta nilai-nilai baharu yang mengejutkan dan memberi inspirasi kepada orang ramai, sambil menawarkan kegembiraan yang meluaskan potensi kehidupan mereka," katanya.