HONDA Gold Wing Tour (2024) Dengan Warna 'Heavy Gray Metallic You' Kini Di Malaysia, RM 212.9k
TERKINI
7/27/20241 min read
BOON Siew Honda (BSH) mengemaskini penawaran warna untuk motosikal aras tinggi mewahnya, Honda Gold Wing Tour (2024) di Malaysia menerusi pilihan warna baharu 'Heavy Gray Metallic You'.
Dan seperti motosikal dalam kaliber sama, harga yang diumumkan oleh BSH adalah RM 212,888 (asas).
Bersama pilihan warna terbaharu itu adalah peningkatan harga dengan model bagi versi 2023 dijual pada angka RM 210,888 (asas), tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Memacu motosikal dengan berat 383.2 kg adalah enjin bersesaran 1,833 cc, 6 Silinder Sebaris, 24 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.
Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 124.7 Hp pada 5,500 rpm dan tork 170 Nm pada 4,500 rpm.
Sistem transmisi pula dipadankan dengan generasi ketiga transmisi 7 kelajuan DCT (Dual Clutch Transmission) bersama pacuan 'Shaft'.
Seperti motosikal aras tinggi lain, Honda Gold Wing Tour (2024) menggunakan sistem 'Ride by wire' dan memiliki 4 mod tunggangan (Tour, Sport, Econ dan Rain) bersama tetapan tersendiri.
Ciri-ciri bantuan tunggangan elektronik lain yang tersedia adalah seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC), Kawalan Jelajah selain sistem suspensi dengan ciri pelarasan elektronik.
Sebagai motosikal untuk aktiviti penjelajahan, Honda Gold Wing Tour (2024) dilengkapi dengan ruang simpanan seluas 61 liter, visor angin boleh laras elektrik, sistem lampu LED penuh dan sistem lampu signal dengan ciri padam automatik.
Mengawal tetapan boleh dibuat menerusi panel meter menggunakan skrin TFT berwarna penuh 7 Inci lengkap dengan sambungan ke telefon pintar menerusi Apple CarPlay dan Android Auto .
Brek dijana cakera berkembar 320 mm dengan kaliper 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 310 mm (belakang) bersama set roda 130/70-18 (depan) dan 200/55-16 (belakang).
Sekalipun besar dan berat, ketinggian pelana Honda Gold Wing Tour (2024) hanyalah 745 mm dan untuk penjelajahan jarak jauh, ia turut dilengkapi tangki bahan api sebesar 20.8 liter.
Kepada yang berminat, Honda Gold Wing Tour (2024) dijadual tiba di rangkaian cawangan Honda Big Wing seluruh negara bermula pada awal Ogos depan.
Seperti biasa, pihak BSH turut memberi jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dengan setiap pembelian.