HONDA Gold Wing Tour Dapat Warna Baharu (2026), RM 217,388!

Menariknya, angka bagi harga baharu untuk Honda Gold Wing Tour (2026) menyaksikan penurunan apabila model sama diumumkan pada harga RM 222,888 (asas) pada tahun lalu

TERKINI

5/15/20261 min read

PENGEDAR eksklusif motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) menyuntik nafas baharu buat model jelajah mewah aras tinggi keluaran jenama Jepun itu, Honda Gold Wing Tour (2026) yang kini ditawarkan dengan warna serba elegan, Gunmetal Black Metallic.

Dan harga yang ditawarkan untuk Honda Gold Wing Tour (2026) adalah RM 217,388, tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Menariknya, angka itu menyaksikan penurunan harga apabila model sama diumumkan pada harga RM 222,888 (asas) pada tahun lalu.

Ringkas trenkuasa, Honda Gold Wing Tour (2026) dipadankan dengan enjin 1,833 cc, 6 Silinder Sebaris, 4 Lejang, 24 Injap, SOHC bersama transmisi Klac Berkembar (DCT) 7 kelajuan.

Sebagai model perdana, Honda Gold Wing Tour (2026) dilengkapi panel meter TFT berwarna bersaiz 7 inci dengan sokongan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta fungsi interkom Bluetooth yang dinaik taraf.

Aspek keselesaan penunggang dan pembonceng turut dititikberatkan menerusi penggunaan pelana kemasan suede dan kulit sintetik, sudut sandar belakang yang lebih santai, penghadang angin boleh laras elektronik serta kotak simpanan atas berkapasiti 61 liter.

Jentera mewah ini turut sarat dengan teknologi bantuan tunggangan terkini termasuk Kawalan Jelajah melalui Throttle-by-Wire (TBW), Bantuan Mula Mendaki (HSA), Sistem Henti Melahu (ISS), Sistem Kunci Pintar dan sistem pencahayaan LED penuh berserta lampu kabus.