HONDA HRC Dedah Liveri, Jentera MotoGP 2026

Pelancaran Honda HRC berlangsung sehari sebelum ujian pra-musim rasmi bermula di Litar Antarabangsa Sepang Malaysia dengan pasukan itu menampilkan gandingan pelumba berpengalaman, Joan Mir dan Luca Marini

PELANCARAN

2/1/20261 min read

HONDA Racing Corporation (HRC) menjadi pasukan terakhir di grid MotoGP 2026 memperkenalkan liveri dan jentera baharu bagi saingan musim 2026 di sebalik spekulasi hangat membabitkan senarai pelumba bagi kempen 2027.

Pelancaran berlangsung sehari sebelum ujian pra-musim rasmi bermula di Litar Antarabangsa Sepang Malaysia dengan pasukan itu menampilkan gandingan pelumba berpengalaman, Joan Mir dan Luca Marini.

Pasukan itu berjaya menunjukkan kebangkitan pada tahun lalu dengan meraih kemenangan bersama pasukan satelit LCR Honda serta tiga podium perlumbaan kering.

Mir menyumbang dua podium di Jepun dan Malaysia, manakala Marini pula tampil lebih konsisten dengan pendekatan analitikal dalam pembangunan jentera, sesuatu yang mendapat perhatian pihak pengurusan Jepun.

Musim 2026 juga menandakan tahun kedua kerjasama penajaan utama Castrol, selepas menggantikan Repsol pada 2025.

Perubahan itu membawa identiti warna baharu yang kekal digunakan untuk musim ini.

Dalam masa sama, 2026 menjadi musim terakhir buat jentera RC213V yang mula digunakan sejak 2012. Model itu mencatat sejarah dengan enam kejuaraan dunia bersama Marc Marquez antara 2013 hingga 2019. Ia bakal digantikan dengan RC214V pada 2027 apabila peraturan baharu 850 cc diperkenalkan.

Spekulasi pasaran pelumba terus hangat apabila laporan mengaitkan juara dunia 2021, Fabio Quartararo, dengan Honda bagi musim 2027. Kehadiran bintang Perancis itu dijangka membuka persaingan sengit antara Mir dan Marini untuk mengekalkan tempat mereka di pasukan utama.

Honda juga sudah mengesahkan barisan pelumba di LCR dengan Johann Zarco dan Diogo Moreira ditawarkan kontrak jangka panjang.