HONDA HRC 'Ikat' Luca Marini Setahun Lagi

Luca Marini mengambil keputusan berani pada penghujung musim 2023 dengan meninggalkan pasukan milik abangnya Valentino Rossi iaitu VR46 Ducati untuk menyertai Honda mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/1/20251 min read

SPEKULASI mengenai masa depan Luca Marini bersama pasukan MotoGP Honda HRC Castrol akhirnya terjawab apabila pasukan itu secara rasminya mengesahkan pelumba dari Itali itu akan terus kekal bersama mereka bagi kempen MotoGP 2026.

Pengumuman yang dibuat menjelang Grand Prix Catalan dengan kontrak adik kepada legenda MotoGP Itali itu dijadual pada musim ini.

Menurut Honda, lanjutan itu turut mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak untuk meneruskan projek pembangunan jentera Honda RC213V yang sedang giat dijalankan dengan Marini akan kekal bergandingan bersama juara dunia MotoGP 2020, Joan Mir.

Marini mengambil keputusan berani pada penghujung musim 2023 dengan meninggalkan pasukan abangnya VR46 Ducati untuk menyertai Honda mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Marc Marquez.

Tetapi kempen sulungnya bersama Honda pada musim lalu terbukti amat sukar dengan Marini tampak cukup bergelut untuk menyesuaikan diri dengan RC213V.

Malah dia hanya mampu mencatatkan keputusan terbaik di tempat ke-12 sepanjang musim debutnya bersama pengeluar gergasi Jepun itu.

Kerja keras Marini mula membuahkan hasil pada musim ini dengan peningkatan prestasi yang konsisten, bermula dengan tempat ke-10 di Argentina, diikuti tempat kelapan di COTA, dan kemudian tempat keenam di Sachsenring selepas kembali daripada kecederaan.

Puncak prestasinya setakat ini hadir pada pusingan di Litar Balaton Park, Hungary dengan Marini mempamerkan hujung minggu terbaiknya di atas jentera Honda dengan menamatkan perlumbaan Sprint di tempat keempat dan meraih kedudukan kelima dalam perlumbaan GP.

Dan prestasi cemerlang inilah yang dikatakan menjadi faktor utama HRC melanjutkan kontraknya.