HONDA Impian X Nilai Dirasmikan, Terbesar Di Malaysia!

Dengan keluasan mencecah 5,560 kaki persegi, Honda Impian X Nilai dioperasikan oleh Kuek Motor (M) Sdn Bhd dan menjadi pusat sehenti komprehensif yang direka khusus oleh Honda untuk melonjakkan pengalaman pemilikan motosikal jenama itu ke satu standard baharu yang lebih eksklusif

PELANCARAN

5/17/20261 min read

BOON Siew Honda (BSH), hari ini merasmikan pusat pameran Honda Impian X yang diiktiraf terbesar di Malaysia yang terletak di Nilai, Negeri Sembilan.

Dengan keluasan mencecah 5,560 kaki persegi, fasiliti terbaharu yang dioperasikan oleh Kuek Motor (M) Sdn Bhd ini adalah pusat sehenti komprehensif yang direka khusus oleh Honda untuk melonjakkan pengalaman pemilikan motosikalnya ke satu standard baharu yang lebih eksklusif.

Menariknya, Honda Impian X Nilai tidak sekadar memfokuskan kepada saiz, malah ia direka bentuk untuk mengendalikan volum pelanggan yang tinggi tanpa menjejaskan kualiti layanan premium.

Sebagai pusat berstatus Impian X, ia menempatkan portfolio lengkap model motosikal Honda, bermula daripada kapcai harian, skuter moden, hinggalah kepada jentera gaya pengembaraan (ADV) bersesaran enjin sehingga 250 cc.

Kecekapan fasiliti ini turut disokong oleh lapan ruang servis berkapasiti tinggi yang dikhususkan untuk memastikan tempoh penyelenggaraan dan baik pulih dapat disiapkan dengan pantas serta efisien.

Melengkapkan kualiti perkhidmatan, pelanggan yang menghantar motosikal untuk diservis boleh bersantai di ruangan ruang istirahat eksklusif yang luas dan berhawa dingin.

Sebagai info, pembukaan Honda Impian X Nilai adalah pelaburan utama kedua oleh Kuek Motor mengikuti kejayaan bilik pameran pertama mereka yang terletak di Sungai Pelek, Sepang.