HONDA Kena 'Tolak' Lagi, Kali Ni Oleh Pol Espargaro!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/11/20231 min read

BOS Repsol Honda MotoGP, Alberto Puig 'memetik' seorang lagi nama berpotensi menggantikan Marc Marquez bersama pasukannya iaitu bekas pelumba, Pol Espargaro namun respon yang diperoleh agak mengecewakan.

Perkembangan itu diperoleh ketika temuramah Puig yang juga Pengurus Pasukan Repsol Honda bersama penyiar Sepanyol DAZN di Grand Prix Malaysia 2023 yang sedang berlangsung.

Menurut Puig, Pol yang juga bekas pelumba HRC "Kemungkinan yang sebenar' untuk posisi berkenaan sambil menjelaskan spekulasi membabitkan pelumba Moto2, Fermin Aldeguer sebagai 100 peratus tak benar.

Pol tidak menafikan ada membuat perbincangan dengan Honda tetapi pelumba kelahiran Sepanyol itu menjelaskan dia tidak akan meninggalkan KTM sekalipun bangga dengan perkembangan itu.

"Saya amat berterima kasih kepada Alberto. Dan untuk pengeluar mahukan kamu kembali, untuk apa saja alasan, ia sesuatu yang bagus," kata Espargaro kepada MotoGP.com.

"Ini bermakna kerja yang kamu lakukan di sana tidak terlalu buruk dan hubungan dengan mereka baik.

"Saya ada berborak dengan Alberto, sudah tentu. Kami bercakap mengenai kontrak dan semua ini, tetapi pada masa sama, saya terikat dengan kontrak bersama KTM dan hubungan saya dengan KTM juga baik.

"Saya selesa di mana saya berada, juga untuk memikirkan mengenai masa depan.

"Mungkin saya mahu kembali meneruskannya (berlumba musim 2024), tetapi sitiasinya adalah seperti ini dan saya mengambil tanggungjawab dengan mengetahui peluang pada 2025 akan terbuka.

"Saya benar-benar mahu membantu pengeluar ini, Pierer Mobility Group, untuk melihat mereka berkembang, menjadi juara dunia satu hari nanti, dan harapnya dalam masa terdekat.

"Itu adalah posisi saya ketika ini."

Ketika bersama Honda, Pol yang berdepan kecederaan ketika aksi pembuka musim di Portugal merangkul dua kedudukan podium selama dua musim sebelum menyertai KTM menerusi projek Tech3 GASGAS musim ini.

Selepas 'penolakkan' Espargaro dan Aldeguer, HRC nampaknya hanya memiliki satu pilihan tersedia iaitu pelumba Gresini Ducati, Fabio di Giannantonio yang masih kekal tanpa pasukan musim depan.