HONDA Kuasai Jualan Motosikal Dunia 2023, Yamaha Ke-3!

TERKINI

3/19/20241 min read

HONDA mengekalkan penguasaan selama bertahun-tahun sebagai peneraju jualan motosikal di peringkat global selepas merekodkan 18.4 juta unit jualan pada tahun 2023.

Menurut data yang dikongsikan oleh laman web Motorcycle Data, jumlah jualan yang direkodkan Honda menunjukkan peningkatan sebanyak 4.3 peratus atau sekitar 700k unit berbanding tahun sebelumnya.

Di tangga kedua adalah syarikat pengeluar motosikal gergasi India, Hero Motor.

Sepanjang tahun lalu, syarikat yang menjalankan kerjasama dengan pengeluar Amerika Syarikat, Harley-Davidson untuk model X440 mencatatkan 5.6 juta unit jualan.

Ia adalah peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan majoriti jualan diperoleh di India.

Menghuni tangga ketiga adalah 'Raja' di Malaysia iaitu Yamaha yang merekodkan 4.6 juta unit jualan tahun lalu, peningkatan sebanyak 0.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, Yamaha memegang sekitar 7.5 peratus jumlah jualan global pada tahun 2023.

Di kedudukan keempat adalah satu lagi syarikat pengeluar gergasi India, Bajaj Auto yang merekodkan sejumlah 3.6 juta jualan, peningkatan 8.7 peratus dan dikuatkan dengan jualan di peringkat domestik.

Satu lagi syarikat dari India, TVS Motor mengisi tangga kelima dengan 3.4 jualan direkodkan dengan peningkatan sebanyak 19.8 peratus.

Mengisi tangga keenam adalah syarikat pengeluar gergasi China, Yadea yang mencatatkan penurunan drastik selepas mengguni tangga ketiga tahun lalu.

Yadea yang juga pengeluar motosikal/skuter elektrik terkemuka dunia menjual sejumlah 2.5 juta unit sepanjang 2023 dengan merekodkan kejatuhan sebanyak 49.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sesuatu yang menarik diperoleh apabila Suzuki menghuni tangga ketujuh keseluruhan dengan 1.9 unit jualan direkodkan, peningkatan sebanyak 7.1 peratus.

Melengkapkan kedudukan 10 terbaik adalah tiga pengeluar China dimulakan dengan Haojue, Loncin dan Zongshen.

Secara keseluruhan, sejumlah 62.5 juta unit motosikal dijual sepanjang tahun 2023, peningkatan 2.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sebagai info, data yang dikongsikan diperoleh daripada 92 negara dan membabitkan pendaftaran baharu kenderaan dua roda serta tidak termasuk Tuk Tuk, ATV atau RUV.