HONDA Makin 'Pening', Joan Mir Pula Dikaitkan Dengan Ducati

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/30/20231 min read

KEMELUT membabitkan kem Honda dalam kancah MotoGP makin 'parah' selepas seorang lagi pelumbanya, Joan Mir dikatakan turut menunjukkan minat untuk 'angkat kaki'.

Lebih 'menyakitkan', jentera atau pasukan yang dikaitkan dengan Mir adalah Ducati.

Sebelum ini, bekas rakan sepasukan Mir di Suzuki, Alex Rins meninggalkan pasukan satelit Honda, LCR pada hujung musim ini untuk menyertai pasukan 'kilang' Yamaha pada musim depan.

Dan paling mengejutkan adalah pelumba bintangnya, Marc Marquez turut dikaitkan dengan jenama Itali itu.

Menurut laporan media antarabangsa, Mir yang juga juara dunia MotoGP musim 2020 bersama Suzuki dilaporkan 'menawarkan dirinya' untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini.

Perkembangan mengejutkan itu diperoleh daripada pengurus veteran di paddock MotoGP yang 'rapat' dengan Gresini, Carlo Pernat memetik laporan GPOne.

Untuk musim 2024, Ducati masih mempunyai 'ruang' untuk diisi iaitu di Pramac (Kekosongan ditinggalkan Johann Zarco) dan berkemungkin besar Gresini (Tempat Fabio di Giannantonio).

Giannantonio ketika ini menjadi satu-satunya pelumba dalam kem Ducati yang bergelut untuk mencipta impak dan dijangka bakal kehilangan tempat musim depan.

Sekalipun baru berusia 25 tahun, Mir baru-baru ini dalam satu laporan turut mengakui sedang menimbang untuk bersara selepas kempen mendukacitakan bersama Repsol Honda.

Apa tidaknya, kali terakhir Mir melengkapkan perlumbaan utama adalah pada perlumbaan pusingan pembukaan di Portimao, Portugal sebelum dipalit masalah kecederaan.