HONDA Makin Terdesak, Siapa Ganti Marc Marquez Jangka Diketahui Di Buriram?
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/26/20231 min read
SATU lagi teka-teki yang agak menghiburkan dalam arena MotoGP ketika ini - siapa pengganti Marc Marquez di Repsol Honda - dijangka akan diketahui ketika Grand Prix (GP) Thailand 2023, minggu ini.
Ketika ini, satu-satunya 'kerusi' yang masih tersedia di MotoGP bagi musim 2024 adalah tempat yang ditinggalkan juara dunia MotoGP enam kali, Marquez yang berpindah menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini.
Perpindahan 'lewat' Marquez itu memang memberikan 'pening' kepada pengurusan Repsol Honda ketika hampir kesemua pelumba sudah memiliki kontrak bagi musim depan.
Beberapa nama dikaitkan, antaranya Johann Zarco namun menurut Pengurus Repsol Honda, Alberto Puig, mereka tidak akan 'menyentuh' juara GP Australia 2023 itu.
Tiga pelumba Aprilia, Miguel Oliveira, Maverick Vinales dan Aleix Espargaro juga dikatakan sudah dihubungi namun menurut Puig, situasi membabitkan ketiga-tiganya 'amat sulit'.
Dan ketika Vinales dan Espargaro dikatakan tidak serius untuk mengadakan perbincangan dengan HRC, menurut laporan Speedweek, pelumba satelit Aprilia dan RNF Racing, Oliveira mahukan kontrak tiga tahun ketika Honda mampu menawarkan kontrak setahun.
Tanpa kelibat nama-nama besar, menurut Speedweek lagi, pelumba yang disisihkan Gresini bagi memberi laluan kepada Marquez, Fabio di Giannantonio sedang diintai HRC.
Setakat ini, hanya Di Giannantonio tidak mempunyai pasukan untuk berlumba di MotoGP musim depan dan selepas pelumba Itali itu menaiki podium di Phillip Island, peluangnya untuk mengambil tempat Marquez nampak tinggi.
Pengurus pelumba itu juga tak lagi berahsia dengan menyatakan dia akan mengadakan pertemuan dengan HRC ketika di Buriram untuk "memperincikan perbincangan dengan pengurusan tertinggi HRC."