HONDA Masih Belum Temui 'Ramuan' Terbaik - Johann Zarco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/3/20241 min read

JOHANN Zarco percaya yang Honda ketika ini masih belum mempunyai 'ramuan' terbaik terhadap jentera Honda RC213V 2024 berpandukan kepada keputusan yang diraih pada dua pusingan di Qatar dan Portugal.

Honda melakukan perubahan besar-besaran terhadap jentera RC213V bagi menghadapi musim 2024 namun setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan 'jurang' antara pengeluar Jepun itu berbanding pencabar kejuaraan sudah mendekat.

Selepas dua pusingan di Losail dan Portimao, kedudukan terbaik diraih pelumba Honda adalah di kedudukan ke-12 menerusi Joan Mir di Portugal manakala pelumba pasukan satelit LCR Honda, Johann Zarco muncul pelumba terbaik di Qatar di kedudukan ke-15.

Dan selepas melepasi garisan penamat di kedudukan ke-15 di Portugal, Zorco menyatakan yang Honda ketika ini masih belum menemui jalan membenarkan pasukan itu bersaing di kelompok depan.

"Saya benar-benar mempercayai Honda, saya melihat mereka bekerja amat keras dan sekurang-kurangnya, langkah demi langkah, kami semua tahu apa yang tidak bagus untuk dibuat," kata Zarco memetik laporan Crash.net.

Begitupun turut mengecewakan, pelumba kelahiran Perancis itu turut mengakui Honda masih belum tahu apa yang bagus untuk dilaksanakan.

"Kami masih belum tahu apa yang bagus untuk dibuat. Tetapi lebih jauh kami bergerak, lebih banyak yang kami tahu apa yang tak berfungsi.

"Jadi, ia sentiasa berguna untuk terus bergerak ke depan. Bagi saya, saya menjangkakan sesuatu yang baik (di Portugal) tetapi saya tidak dapat melakukannya dan saya mendapat lebih banyak pengalaman.

"Tetapi saya tidak benar-benar berpuas hati dari sudut perasaan. Jadi, ia bukanlah minggu di mana saya benar-benar gembira.

"Saya gembira untuk dapat bersaing dengan lebih banyak sedikit, tetapi selepas orang lain mula mendapat kelajuan, ia menjadi sesuatu yang mustahil. Jadi ia agak sukar," katanya.