HONDA Masih Kurang Laju - Luca Marini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/7/20251 min read

LUCA Marini percaya ujian pra-musim MotoGP 2025 di Sepang menghadirkan peningkatan buat Honda tetapi akur yang jurang antara pengeluar itu bersama pasukan di depan masih jauh.

Malah, pelumba pasukan Honda HRC Castrol itu percaya yang situasi mereka kini lebih kurang sama seperti musim lalu.

"Kami menambah baik jentera daripada tahun lalu dan membuat langkah ke depan dengan jentera 2025," kata Marini.

"Tetapi masih, kami amat jauh, kerana ketika kami melangkah, semua orang turut melangkah, jadi ini adalah masalah. Saya fikir kurang ketika ini adalah lebih atau sama (seperti tahun lalu)."

Mengulas lanjut, adik kepada legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi itu berkata jentera Honda RC213V dapat mengharungi beberapa selekoh di Sepang dengan lebih baik tetapi masalah pecutan masih ada.

"Saya fikir kami menambah baik dari sudut brek jentera dan juga mengambil selekoh berbanding tahun lalu," kata Marini yang turut mengakui jenteranya makin 'mudah' untuk ditunggang. "Sudah tentu, apa yang masih kurang adalah di bahagian enjin, kelajuan tertingi.

"Ini akan menjadi kunci untuk kami cuba mendapatkan lebih banyak potensi pada masa depan, ketika musim berlangsung, terutama ketika memintas kerana Joan (Mir) dan Johann (Zarco) melakukan catatan sepusingan yang cukup baik hari ini dan mereka amat laju.

"Tetapi masalahnya adalah apabila kamu mengharungi perlumbaan, sukar untuk memintas dan kemudian jentera menjadi amat pantas, masalah sama dengan tayar.

"Jadi saya fikir kami perlu fokus atas perkara ini dan cuba untuk mendapatkan lebih peluang memintas ketika perlumbaan, kerana kami akan masih memulakan perlumbaan di grid tengah, tidak begitu depan."