HONDA Menang Gelaran Ke-30 Suzuka 8 Hours, Hafizh, Ducati Team Kagayama Ke-4

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/21/20242 min read

HONDA menerusi pasukan HRC with Japan yang dikuatkan dengan pelumba MotoGP, Johann Zarco memenangi perlumbaan Suzuka 8 Hours 2024 yang menjadi kemenangan ke-30 pengeluar Jepun itu.

Lebih menarik, ia adalah kemenangan ke-3 berturut-turut diraih Honda yang sedang bergelut di kancah MotoGP dan WSBK itu dalam perlumbaan yang turut berada dalam kalendar Kejuaraan Enduran Dunia (EWC) itu.

Selain Zarco, HRC with Japan yang menunggang jentera Honda CBR1000RR-R SP itu turut dikuatkan dengan dua pelumba berpengalaman Jepun, Takumi Takahashi dan Teppei Nagoe.

Malah pasukan itu turut 'terselamat' daripada penalti 40 saat yang dikenakan pada penghujung perlumbaan yang menyaksikan mereka hanya memiliki kelebihan kurang 8 saat di depan pasukan tempat kedua, Yamalube YART Yamaha EWC Official Team.

Melengkapkan kedudukan podium di Suzuka adalah pasukan Yoshimura SERT Motul yang menggunakan jentera Suzuki.

Untuk Zarco, ini adalah penampilan sulung pelumba kelahiran Perancis itu di Suzuka 8 Hours ketika kempen MotoGP mengharungi rehat musim panas.

"Saya merasa bagus kerana apabila kamu memperbetulkan sasaran dan kamu meraih kemenangan, ia kelegaan yang besar," kata Zarco.

"Saya merasa gembira, bangga dan ia memberikan kepuasan. Saya amat kagum dengan kelajuan Takumi dan caranya mengawal perlumbaan. Saya juga gembira dengan perkembangan Teppei sejak ujian sehingga perlumbaan.

"Ketiga-tiga pelumba penting untuk kemenangan ini kerana dengan cuaca panas, kami semua perlu mengawal tenaga."

Sementara itu, pasukan rasmi Ducati di Suzuka 8 Hours, Ducati Team Kagayama yang turut dikuatkan dengan pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya mencapai sasarannya untuk menduduki tempat lima terbaik dengan menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

Malah, pelumba pertama pasukan itu, Ryo Mizuno berjaya meletakkan pasukan itu di kedudukan teratas pada jam pertama sebelum mereka kehilangan masa berharga pada hentian pit pertama selepas berdepan masalah.

Dan perebutan tempat di podium terakhir melawan pasukan Yoshimura SERT Motul turut hanya dapat ditentukan pada 30 minit terakhir perlumbaan.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara yang beraksi di Suzuka 8 Hours, Helmi Azman (Honda Blue Helmets MSC Kumamoto & Asaka) menamatkan saingan di kedudukan ke-22.

Begitupun nasib tidak menyebelahi dua lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Zaqhwan Zaidi selepas pasukan kedua-duanya terpaksa meninggalkan perlumbaan lebih awal.

Azlan yang beraksi bersama Team Frontier dan menunggang jentera BMW S1000RR hanya sempat melakukan 156 pusingan manakala Zaqhwan yang beraksi bersama pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo melakukan 213 pusingan.

Keputusan perlumbaan Suzuka 8 Hours 2024 (5 terbaik)

  1. Team HRC with Japan Post (HONDA CBR1000RR-R SP) 220 Pusingan, 8:01:29.693s

  2. YART - YAMAHA EWC (YAMAHA YZF-R1) 220 Pusingan, 8:01:37.553s

  3. Yoshimura SERT Motul EWC (SUZUKI GSX-R 1000) 219 Pusingan, 8:01:37.618s

  4. DUCATI Team KAGAYAMA EWC (DUCATI PANIGALE V4R) 219 Pusingan, 8:02:14.011s

  5. BMW MOTORRAD WORLD ENDURANCE TEAM EWC (BMW M1000RR) 218 Pusingan, 8:02:09.142s