HONDA Motor Malaysia Lancar Program 'Honda Assist: Flood Campaign'
Program 'Honda Assist: Flood Campaign' anjuaran Boon Siew Honda (BSH) ini adalah inisiatif khas untuk membantu pemilik motosikal Honda memulihkan kenderaan mereka yang terjejas akibat banjir
TERKINI
12/10/20251 min read


BENCANA banjir yang melanda beberapa Kawasan di Malaysia menyaksikan Boon Siew Honda (BSH) tampil menghulurkan bantuan terhadap komuniti yang terkesan menerusi program 'Honda Assist: Flood Campaign'.
Program ini adalah inisiatif khas daripada BSH untuk membantu pemilik motosikal Honda memulihkan kenderaan mereka yang terjejas akibat banjir dengan program ini berlangsung dari 8 Disember hingga 31 Disember 2025.
Menerusi 'Honda Assist: Flood Campaign', mangsa boleh menerima manfaat seperti:
• Pemeriksaan motosikal komprehensif untuk semua model yang terjejas
• Pakej Pemulihan Asas Banjir secara percuma untuk motosikal bawah 250 cc merangkumi:
1 botol minyak enjin Pro Honda
1 unit palam pencucuh
1 pasang pad brek atau brake shoe berserta seat set
1 botol pencuci enjin Pro Honda
Pemilik motosikal bawah 250 cc pula boleh ke Honda Impian X yang mengambil bahagian, manakala motosikal 250 cc ke atas boleh kunjungi mana-mana Honda BigWing di seluruh negara untuk pemeriksaan.
Syarat utamanya adalah mangsa perlu membawa salinan laporan polis atau surat pengesahan dari pegawai daerah untuk mengesahkan kawasan mereka terjejas akibat banjir sebagai dokumen sokongan dan membuat janji temu dengan pengedar untuk memudahkan proses pemeriksaan.
Menurut BSH, program ini turut mendapat sokongan daripada PETRONAS, ThreeBond, Niterra Malaysia dan Denso.
Untuk maklumat lanjut, sila layari Laman Utama - Honda Motorcycle: Impian X atau Laman Utama - Honda BigBikes.



