HONDA Motor Thailand Rancak Promosi Honda Forza 750 'Gen' Baharu, Malaysia Terus Menunggu!
Sebagai model naik taraf major, antara perubahan yang diperoleh Honda Forza 750 (2025) adalah dari sudut rekaan dengan ia tampil dengan rupa paras yang lebih segar, moden dan 'Sporty'
TERKINI
8/12/20251 min read


MENGIKUTI pelancarannya pada tahun lalu di peringkat global, generasi terbaharu skuter aras tinggi bergaya 'Sport', Honda Forza 750 (2025) akhirnya memasuki pasaran negara jiran, Thailand.
Sebagai model naik taraf major, antara perubahan yang diperoleh adalah dari sudut rekaan dengan Honda Forza 750 (2025) tampil dengan rupa paras yang lebih segar, moden dan 'Sporty'.
Rekaan lampu hadapannya yang kini turut menempatkan lampu nyalaan siang (DRL), memberikan impak visual yang lebih garang dan kontemporari.
Selain itu, Honda turut memberi perhatian kepada aspek aerodinamik dan keselesaan dengan reka bentuk penghadang angin yang 25 peratus lebih lebar berbanding model terdahulu.
Dan lebih menarik, visor penghadang angin ini turut memiliki ciri pintar kerana ia bukan sahaja boleh dilaras setinggi 120 mm, tetapi ia akan turun secara automatik apabila enjin dimatikan dan kembali ke kedudukan asal sebaik jentera mencapai kelajuan 5 km/j.
Dari sudut elektronik, naik taraf paling ketara ialah ciri 'cruise control' yang kini didatangkan secara standard, membolehkan penunggangan jarak jauh menjadi lebih santai.
Pakej elektronik turut dipertingkat dengan tiga mod menunggang (Rain, Standard, Sport) yang boleh dipilih melalui skrin TFT 5-inci baharu. Panel meter ini juga menyokong fungsi Honda RoadSync untuk sambungan ke telefon pintar.
Sistem henti dijana brek cakera berkembar 320 mm (depan) yang dipadankan bersama kaliper 4 Piston dan cakera bersaiz 240 mm dengan kaliper 2 Piston (belakang) dan seperti biasa, lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Suspensi dijana fork jenis terbalik (USD) 41 mm dan suspeni belakang jenis Pro-Link.
Di bahagian trenkuasa, Honda Forza 750 (2025) kekal dengan enjin bersesaran 754 cc, Parallel-twin yang sama dengan Honda X-ADV 750.
Kuasa yang dihamburkan adalah 58 Hp dan tork 69 Nm pada 4,750 rpm.
Info dan ciri lain:
Tinggi pelana 790 mm
Port pengecas USB
Panel TFT 5-inci dengan fungsi Honda RoadSync dan ciri sambungan telefon pintar.
Apa yang pasti, pelancaran Honda Forza 750 di negara jiran itu secara langsung menimbulkan persoalan bilakah giliran pasaran Malaysia untuk menerima skuter berkuasa berkenaan.
Setakat ini, pihak Boon Siew Honda tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi tetapi dikhabarkan, ada pihak berminat untuk membawanya secara rasmi.






