HONDA NSS250 (2024) Dilancarkan Di Malaysia, Harga Pengenalan RM 25.9k!

PELANCARAN

7/12/20242 min read

BOON Siew Honda (BSH), hari ini melancarkan skuter maxi Honda NSS250 (2024), model yang turut dikenali sebagai Honda Forza 250 di pasaran Indonesia dan Jepun untuk pasaran tempatan.

Harga jualan yang diumumkan untuk skuter suku liter yang bakal bersaing dengan model seperti XMax, RT2 dan Elegan EX itu adalah RM 25,888 (asas), tidak termasuk pendaftaran, insurans dan cukai jalan.

Tiga pilihan warna tersedia iaitu:

  • Mat Gun Powder Black Metallic

  • Pearl Smoky Gray

  • Candy Syrah Wine Red

Seperti diketahui, Honda Forza 250 (Rekaan sama seperti Honda NSS250) membuat debutnya di Jepun pada Disember 2022 dan ia adalah versi kemas kini yang mendapat perubahan dari sudut rekaan dan spesifikasi.

Dari sudut rekaan, ia memang mengambil rekaan Honda Forza 350 (generasi terbaharu) dengan perubahan ketara adalah penggunaan unit lampu berkembar (model sebelumnya bersambung) yang mendapat inspirasi daripada 'abangnya', Honda Forza 750.

Dan sekalipun tidak begitu ketara, bahagian panel badan dan belakang turut diubah namun masih mengekalkan identiti skuter yang menggunakan nama Forza iaitu eksklusif dan mewah.

Mengulas trenkuasa, Honda NSS250 (2024) dipadankan dengan enjin eSP+ bersesaran 249.5 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Pi, SOHC bersama transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 23 Hp @ 7,750 rpm dan tork 24 Nm @ 6,250 rpm.

Ciri-ciri menarik adalah seperti visor angin boleh laras elektrik, Sistem Kunci Pintar, Emergency Stop System (ESS) dan Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Tetapi sedikit mengecewakan, kluster instrumen meter Honda NSS250 (2024) ini masih menggunakan gabungan analog dan digital.

Di bahagian suspensi, skuter ini menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang) dengan set roda 120/70-15 (depan) dan 140/70-14 (belakang).

Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 256 mm dengan kaliper 2 piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm dengan kaliper 1 piston (belakang) dan lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran.

Seperti pencabarnya yang lain, Honda NSS250 (2024) turut hadir dengan ruang simpanan bawah pelana yang luar, 48 liter yang didakwa mampu memuatkan dua topi keledar muka penuh selain ruang simpanan di bahagian kokpit yang turut memiliki soket pengecas USB Type-C.

Informasi lain adalah seperti ketinggian pelana 780 mm, jarak lega bumi 140 mm, kapasiti tangki minyak 11.7 liter dan berat 185 kg.

Menerusi hebahan media yang dikeluarkan juga, pihak BSH menyediakan jaminan selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (mana-mana tiba dulu).