HONDA NX500 E-Clutch Tiba Di Malaysia, Lebih Santai, RM 34,099!
Seperti diketahui, Honda NX500 E-Clutch mula diperkenalkan pada pertengahan tahun ini di peringkat global dan sejak itu, kehadirannya menjadi antara yang dinanti-nantikan peminatnya
TERKINI
9/11/20261 min read


HONDA Motor Malaysia secara rasminya membawa masuk versi terbaharu untuk model 'Sport touring' popularnya, Honda NX500 yang lengkap dengan teknologi transmisi inovatif, Honda E-Clutch.
Seperti diketahui, Honda NX500 E-Clutch mula diperkenalkan pada pertengahan tahun ini di peringkat global dan sejak itu, kehadirannya menjadi antara yang dinanti-nantikan peminatnya.
Dan seperti model-model yang turut dipadankan dengan sistem E-Clutch, pengenalan teknologi canggih itu membolehkan sistem menguruskan operasi klac secara automatik ketika jentera mula bergerak, berhenti dan menukar gear.
Ini bermakna penunggang tidak lagi perlu menarik tuil klac di tangan, sekali gus menghapuskan risiko enjin mati serta memberikan tunggangan yang lebih selesa dan fleksibel untuk kegunaan harian mahupun laluan off-road ringan.
Begitupun penunggang masih boleh memilih untuk mematikan sistem itu dan menggunakan tuil klac secara manual pada bila-bila masa.
Tiada perubahan dari sudut rekaan dan trenkuasa dengan Honda NX500 E-Clutch kekal dipacu enjin 471 cc, 2 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan kuasa 37 kW dan tork 45 Nm.
Dengan berat 199 kilogram, Honda NX500 E-Clutch turut dilengkapi ciri keselamatan Honda Selectable Torque Control (HSTC) bagi pengurusan cengkaman tayar belakang yang lebih optimum.
Menurut Honda Motor Malaysia, Honda NX500 E-Clutch ditawarkan pada harga asas RM 34,099 berserta jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 kilometer dan sudah mula berada di semua pusat pameran Honda BigWing bermula hari ini dengan dua pilihan warna iaitu Pearl Horizon White dan Matte Gunpowder Black Metallic.

