HONDA 'Ok', Mereka Banyak Masa, Pelumba Tak - Marc Marquez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/8/20231 min read

MARC Marquez menegaskan pelumba tidak mempunyai tempoh masa lama untuk menunggu kebangkitan sesebuah pasukan, situasi yang terjadi kepadanya bersama Repsol Honda di MotoGP, ketika ini.

Dalam satu temuramah bersama Crash.net, Marquez yang meninggalkan Honda untuk menyertai pasukan satelit Ducati musim depan ditanya mengenai darjah kesukaran untuk memberitahu pasukan mengenai keputusannya, terutama kepada Pengurus Repsol Honda, Alberto Puig.

"Ia sukar kerana saya tahu mereka semua mempunyai keyakinan yang banyak kepada saya dan mempercayai skil saya," kata Marquez.

"Tetapi bagi saya, ia satu bantuan yang cukup besar yang Alberto, sebagai contoh adalah bekas pelumba dan dia boleh memahami perasaan ini.

"Kemudian, pasukan juga memahaminya. Sudah tentu, swya tidak akan mengambil keputusan sebelum bercakap dengan mereka semua terlebih dulu, termasuk staf dari Jepun, untuk menilai semua kemungkinan.

"Dan terutama sekali untuk mencari apa yang terbaik untuk projek.

"Kerana ketika ini, apa yang saya rasa adalah projek ini memerlukan masa, untuk membina jentera dan kembali ke tahap terbaik.

"Dan mereka akan melakukannya. Mereka adalah Honda. Mereka adalah jenama besar di dunia dan mereka pasti akan melakukannya, saya yakin.

"Tetapi mereka memerlukan masa dan atlet (pelumba) tidak mempunyai masa yang lama."

Menjelang GP Malaysia 2023 hujung minggu ini, Marquez, 30 menghuni tangga ke-14 keseluruhan kedudukan pelumba selepas sekadar mengutip 81 mata.

Keli terakhir Marquez merasai nikmat kemenangan di MotoGP adalah di GP San Marino pada musim 2021.