HONDA Onitsuka Tiger Mid Sports Concept Muncul Di Milan

Apa yang menarik, ramai pengamal media automotif antarabangsa mengesyaki Honda Onitsuka Tiger Mid Sports Concept bukan sekadar produk pameran, sebaliknya 'bayangan' awal kepada model 'Sportbike' pertengahan terbaharu dari Honda, yang berkemungkinan besar dinamakan Honda CBR750

TERKINI

9/24/20261 min read

PENGELUAR motosikal gergasi Jepun, Honda menjalin kolaborasi bersama jenama fesyen ikonik juga dari negara Matahari Terbit Onitsuka Tiger pada Minggu Fesyen Milan 2027 di Itali dengan tumpuan terarah kepada model motosikal yang dihasilkan - Honda Onitsuka Tiger Mid Sports Concept.

Tiada spesifikasi teknikal dikongsi secara rasmi namun kelibat Honda Onitsuka Tiger Mid Sports Concept pantas mengundang spekulasi.

Ramai pengamal media automotif antarabangsa mengesyaki ia bukanlah sekadar kanvas pameran fesyen, sebaliknya 'bayangan' awal kepada model 'Sportbike' pertengahan terbaharu dari Honda, yang berkemungkinan besar dinamakan CBR750.

Dari segi estetika, keseluruhan badan motosikal konsep itu disalut rona kuning yang sangat sinonim dengan Onitsuka Tiger berserta hiasan jalur hitam. Rim aloi berwarna hitam turut menerima sentuhan kemasan kuning, manakala bahagian bawah fairing sisi mempamerkan logo gabungan kedua-dua jenama berkenaan.

Rekaan fairing hadapan yang agak kompak gagal menyembunyikan 'tulang' jentera berkenaan, di mana rekaan kerangka dan ruang enjinnya saling tidak tumpah seperti platform parallel-twin 755 cc yang diguna pakai pada model naked, Hornet 750 dan model adventure, Transalp 750.

Ia satu langkah yang munasabah kerana trend pengeluar motosikal masa kini gemar memaksimumkan penggunaan satu platform enjin untuk dibina menjadi tiga varian berbeza iaitu naked, adventure, dan sport.

Lebih mengujakan, jentera konsep ini nampaknya turut dinaik taraf untuk aksi yang lebih agresif.

Ia dilengkapi fork hadapan yang lebih tegap berbanding Hornet, sistem brek berprestasi tinggi jenama Brembo, lengan ayun mirip CBR650R, serta kedudukan pemijak kaki yang lebih tinggi khusus untuk tunggangan di litar.

Di sebalik keunikan dan komponen premium yang ditawarkan, timbul satu persoalan menarik mengenai strategi pasaran Honda di mana mereka ketika ini sudah mempunyai Honda CBR650R yang menghasilkan 94 Hp.

Dan jika jentera konsep fairing penuh ini benar-benar direalisasikan menggunakan enjin platform Hornet 750 yang berkuasa 91 Hp, apa nasib Honda CBR750 ini dalam barisan motosikal Honda kelak?

Untuk Onitsuka Tiger, kerjasama ini turut diserikan lagi apabila model yang melangkah di pentas peragaan mengenakan koleksi pakaian termasuk jaket dan kasut yang tertera nama serta simbol sayap ikonik Honda.