HONDA Racing Corporation (HRC) ketika ini mempunyai pangkalan di Barcelona, Sepanyol bagi pasukannya di MotoGP namun ia bukanlah yang utama dan hanya menjalankan tugasan logistik.
Setakat ini, kesemua penghasilan komponen baharu serta inovasi masih dijalankan di Jepun dan situasi sama turut digunakan syarikat itu untuk pasukannya yang beraksi dalam kempen WorldSBK.
Memetik laporan Speedweek.com. syarikat pengeluar gergasi motosikal dunia yang sedang bergelut teruk dalam kempen MotoGP mahupun WorldSBK itu dikatakan sedang merancang untuk membina pangkalan utamanya ke Itali atau lebih tepat di Milan.
Dan tindakan itu nampak cukup konsisten dengan laporan yang menyatakan HRC sedang cuba mendapatkan bekas juruteknik 'super' KTM dan Ducati, Fabiano Sterlacchini dari Itali.
Selepas 17 tahun bersama Ducati, Sterlacchini menyertai KTM pada musim panas 2021 dengan jawatan terakhirnya adalah Naib Presiden Teknologi Sukan Permotoran (Road) sebelum kontraknya berakhir pada Jun lalu.
Setakat ini, tiada lanjutan kontrak berjaya dicapai dengan Sterlacchini ketika ini dikatakan sudah pun pulang ke negara kelahirannya.
Buat Honda, individu seperti Sterlacchini jelas cukup penting dalam usahanya untuk bangkit selain mengelak pengetahuan besarnya terhadap pembangunan Ducati Desmo dan KTM RC16 terlepas ke pencabar lain.
Sebagai tambahan, individu berkenaan juga boleh membantu kepada pembangunan jentera baharu yang bakal digunakan di MotoGP bermula 2027 iaitu enjin bersesaran 850 cc.
Tahun depan, HRC menggaji seorang lagi pelumba ujian iaitu Aleix Espargaro untuk bergandingan dengan Stefan Bradl dengan pelumba Sepanyol itu akan turut membawa Ketua Krew, Tony Jimenez dan beberapa lagi mekanik daripada Aprilia ke Honda.
Ketika ditemuramah, pelumba ujian HRC, Bradl berkata Honda sedang bekerja keras untuk kembali bangkit dan tindakan yang diambil juga besar.
"Honda sedang melakukan sesuatu, dan ia bukannya seperti tiada apa yang akan berlaku," kata Bradl. "Kepada dunia luar, ia menghadirkan hakikat yang pahit dan menyedihkan.
"Tetapi Honda adalah Honda, kamu tidak boleh melupakan perkara itu. Lihat apa yang Honda buat sebelum ini. Ducati memerlukan 12 tahun untuk kembali bergelar juara dunia (pelumba) selepas (Casey) Stoner.
"Ia satu tempoh yang panjang. Jangan meremehkan Honda, kerana itu tiada siapapun di sini perlu malu. Harinya akan tiba untuk sesuatu terjadi lagi," katanya.