HONDA Perkenalkan Honda CBR400R, NX400 (2024), Tapi Hanya Di Jepun!

TERKINI

2/28/20241 min read

HONDA Motor Co., Ltd memperkenalkan dua model yang boleh dianggap menarik - Honda CBR400R dan NX400 (2024) tetapi sedikit mengecewakan, eksklusif di pasaran Jepun.

Sebagai info, Honda CBR400R dan NX400 hanya dipasarkan di Jepun setakat ini berikutan peraturan ketat membabitkan lesen menunggang motosikal di negara berkenaan.

Di Jepun, penggunaan motosikal bawah 400 cc dikhususkan untuk penunggang di bawah usia 18 tahun dengan had untuk mendapatkan lesen motosikal bermula pada usia 16 tahun.

Justeru, bukan sesuatu yang pelik jika model motosikal yang turut diharap dapat dijual di pasaran lain seperti Suzuki Katana 400, Honda CB400 Super Four cukup popular di negara berkenaan.

Mengulas spesifikasi trenkuasa Honda CBR400R dan NX400, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 399 cc, Parallel-Twin 180 Darjah Crank, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Apa yang menarik, kuasa yang dihasilkan tidak jauh berbeza dengan model Honda lain bersesaran 500 cc iaitu sekitar 46 Hp dan 38 Nm tork.

Dari sudut penampilan, Honda NX400 nampak cukup mirip 'abang besarnya' Honda Transalp XL750 terutama di bahagian depan.

Begitupun tidak seperti Transalp XL750 yang tampil dengan perwatakan lasak, Honda NX400 lebih berorentasikan motosikal 'on-road' terutama penggunaan rim aloi.

Untuk Honda CBR400R yang juga motosikal dalam segmen 'Sportbike', ia juga menampilkan penggayaan seperti Honda CBR650R dengan penggunaan lampu utama LED terpisah dan ciri panel badan yang tajam.

Dan kepada yang meminati warna 'perlumbaan' Honda, Honda CBR400R turut ditawarkan dengan pilihan warna 'Liveri' HRC di WorldSBK, Grand Prix Red selain Matte Ballistic Black Metallic.

Honda NX400 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Pearl Glare White dan All Black.

Untuk harga, Honda CBR400R (2024) dijual pada harga 863,500 yen (RM 27,301) manakala Honda NX400 diberikan tanda harga 891,000 yen (RM 28,171).