HONDA Perlu Ubah Mentaliti - Mick Doohan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/12/20241 min read


HONDA perlu mengubah mentaliti dalam usaha untuk kembali menjadi kompetitif di MotoGP, kata juara dunia lima kali Grand Prix, Mick Doohan.
Selepas sentiasa berada di depan mencabar kejuaraan dunia, Honda pada musim 2022 dan 2023 mengisi kedudukan tercorot kategori pengeluar dan situasi itu berulang lagi tahun ini.
Tahun depan, pengeluar motosikal gergasi Jepun itu turut kehilangan penaja 'gergasi' Repsol selepas berpuluh tahun menjalinkan kerjasama.
Justeru Doohan yang menjulang gelaran dunia Grand Prix pertamanya bersama Honda pada 1994 dalam kelas elit 500 cc mengakui situasi itu perit untuk diterima.
"Saya berada bersama mereka cukup lama, dan saya hanya menandatangani kontrak selama 12 bulan kerana tidak ada pengeluar lain yang komited untuk memburu kejuaraan, kedua-dua dari sudut staf teknikal dan sokongan yang diberikan.
"Dan malangnya, mengecewakan untuk melihat di mana mereka berada ketika ini," kata Doohan memetik laporan Crash.net
"Saya secara peribadi percaya yang pandemik meningkatkan kesukaran pengeluar-pengeluar Jepun, ketika pengeluar Eropah berpeluang untuk meneruskan pembangunan elektronik dan perkara lain.
"Mereka menjadi kompetitif sekali lagi tetapi, untuk melakukannya, mereka perlu mengubah mentaliti mereka."
Doohan berkata, Honda perlu melihat kepada perubahan yang dilakukan satu lagi pengeluar Jepun, Yamaha.
"Di Yamaha, mereka seperti dapat mencari langkah yang tepat dalam usaha untuk berjaya seawal tahun depan, dan saya harap yang Honda akan mengikuti jalan yang sama," kata bekas pelumba berusia 59 tahun itu.
"Bagus untuk melihat ada banyak pengeluar bersaing dalam kejuaraan."
Doohan yang kelima-lima gelaran dunianya diperoleh bersama Honda berkata apa yang dilakukan Honda ketika ini tampak cukup baik khususnya mendapatkan pelumba berpengalaman, Aleix Espargaro sebagai pelumba ujian.
"Mendapatkan Aleix sebagai pelumba ujian adalah langkah yang hebat. Mereka memerlukan seseorang yang laju dan berkemampuan untuk memahami apa yang diperlukan jentera untuk bertambah baik."
Selain Espargaro, Honda turut mendapatkan Romano Albesiano sebagai Pengarah Teknikal.
