HONDA Racing Malaysia Bangga Prestasi Pelumba, Krew Di Suzuka 8 Hours

Pelumba-pelumba negara yang beraksi di Suzuka 8 Hours 2025 yang turut menampilkan ramai pelumba bintang termasuk di MotoGP adalah Azroy Hakeem Anuar, Zaqhwan Zaidi, Md Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi dari Honda

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/5/20251 min read

PRESTASI dan pencapaian empat pelumba negara serta kru teknikal pasukan Honda Racing Malaysia di pentas perlumbaan enduran terkemuka dunia, Suzuka 8 Hours 2025 pada minggu lalu disifatkan sebagai membanggakan.

Pengurus Pasukan Honda Racing Malaysia, Zulhelmi Ahmad berkata apa yang ditampilkan para pelumba dan kru sepanjang perlumbaan yang berlangsung selama lapan jam itu membuktikan kemampuan anak tempatan bersaing di peringkat tertinggi.

Lebih-lebih lagi, mereka beraksi bersama beberapa pasukan utama Honda dengan cabaran hadir termasuk daripada pelumba di pentas MotoGP dan WorldSBK.

"Secara keseluruhan, saya amat berbangga dengan prestasi dan pencapaian pelumba-pelumba serta mekanik Honda Racing Malaysia yang mewakili beberapa pasukan Honda di perlumbaan Enduran 8 Jam Suzuka, Jepun," kata Zulhelmi.

"Azroy (Hakeem Anuar) dan Zaqhwan (Zaidi) yang berlumba untuk pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo berjaya menamatkan perlumbaan di tempat kesepuluh, satu pencapaian membanggakan bagi wakil negara di pentas berprestij ini.

"Tambahan lagi, ketua mekanik kami, Redzuan Kamis, yang turut memimpin pasukan Honda Asia-Dream Racing, menjadi satu lagi kebanggaan buat Honda Racing Malaysia.

"Sementara itu, Khairul Idham Pawi yang mewakili Honda Suzuka Racing Team dan Helmi Azman bersama Honda Tochigi Racing & Koyokai Dream Racing Team juga menunjukkan komitmen tinggi sepanjang perlumbaan.

"Pengalaman mereka di Suzuka menjadi bekalan penting untuk perlumbaan dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) nanti," katanya.

Dalam perlumbaan yang cukup mencabar itu, gandingan Azroy, Zaqhwan dan pelumba Thailand, Nakarin Atiraphuvapat yang mewakili pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo menamatkan saingan dengan catatan masa 8 jam 02 minit 56.218 saat, selepas melengkapkan 213 pusingan.

Sementara itu, Khairul Idham bersama Honda Suzuka Racing Team menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-14 dengan catatan 8 jam 02 minit 01.331 saat dan melakukan 209 pusingan.

Helmi pula yang berlumba bersama Honda Tochigi Racing & Koyokai Dream Racing Team terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal (retired) selepas mencatat 181 pusingan.

Perlumbaan edisi kali ini dimenangi oleh pasukan Honda HRC yang dibarisi dua pelumba handalan, Johann Zarco yang juga pelumba MotoGP LCR Honda dan legenda S8H, Takumi Takahashi.