HONDA Racing Team Dilancarkan, Bakal Bersaing di ARRC, MSBK!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/25/20251 min read

BOON Siew Honda (BSH), hari ini mengumumkan pasukannya yang beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 di bawah lencana Honda Racing Team (HRM) dengan Idemitsu sebagai penaja utama.

Di pentas ARRC, HRM akan beraksi di dua kategori utama iaitu ASB1000 menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R dan SS600 (Honda CBR600RR).

Dalam kelas elit ASB1000, HRM akan dipacu dua pelumba berbakat, Mohd Zaqhwan Zaidi dan Azroy Hakeem Anuar.

Manakala dalam kelas SS600, mengibar cabaran pasukan itu adalah tiga pelumba iaitu Mohd Helmi Azman, Khairul Idham Pawi dan Syarifuddin Azman.

Selain beraksi di pentas ARRC, Zaqhwan dan Syarifuddin turut mengibar cabaran BSH di pentas Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan PETRONAS MIE Honda Racing pada musim ini.

Dalam kelas AP250 di ARRC, pasukan itu begitupun tidak menggunakan nama HRM namun menyenaraikan pasukan satelit iaitu SCK Honda Racing dan dipacu pelumba muda Md Irfan Haykal.

Selain ARRC, BSH turut akan beraksi di pentas Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) pada musim ini termasuk dalam kelas MSBK250 menerusi Haziq Fairues dan akan menunggang jentera Honda CBR250RR.

Turut didedahkan pada majlis sama adalah corak baharu 'liveri' pasukan itu bagi musim ini.

Pengurus HRM, Zulhelmi Ahmad yakin pasukan itu mempunyai potensi untuk meraih kejayaan yang cemerlang.

"HRM sentiasa komited untuk maju terhadap sukan permotoran. Menerusi ARRC, kamu bukan saja mengenal pasti, melatih dan membangunkan pelumba-pelumba profesional, tetapi turut menggunakan platform ini sebagai medan ujian yang pentung terhadap penyelidikan dan pembangunan," kata Zulhelmi.

"Data yang kami peroleh dalam siri perlumbaan memainkan peranan penting dalam usaha meningkatkan kekuatan kami dan apa yang perlu diperbaiki, sekaligus memberi kami kelebihan dari sudut kompetitif.

"Matlamat utama kami adalah untuk sentiasa meningkatkan prestasi sambil mengukuhkan kehadiran jenama kami dalam industri."

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BSH, Kunitomo Asano meletakkan harapan tinggi agar HRM mampu memenangi gelaran juara dalam pelbagai kategori yang disertai.

"Fokus kami tetap terarah kepada konsistensi, pertumbuhan dan memberikan prestasi terbaik di litar.

"Dengan pasukan dan pelumba berpengalaman serta bersemangat tinggi, kami berharap tahun ini akan membawa lebih banyak kejayaan bagi memperkukuhkan kedudukan kami dalam industri sukan permotoran."