HONDA Rebel (2024) Dapat Warna Baharu, RM 34k!

TERKINI

7/24/20241 min read

BOON Siew Honda (BSH) hari ini mengemaskini pilihan warna untuk model 'Kruiser' Honda Rebel (2024) menerusi pengenalan dua warna baharu - Mat Laurel Green Metallic dan Seal Silver Metallic.

Selain dua pilihan warna berkenaan, turut dikekalkan adalah pilihan warna terdahulu iaitu Mat Gunpowder Black Metallic.

Justeru secara keseluruhan, tiga warna tersedia untuk pasaran tempatan bagi versi 2024 yang dijual pada harga asas RM 33,899.

Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan, insuran dan model berkenaan mula memasuki cawangan pengedar Honda Big Wing seluruh negara bermula hari ini.

Mengulas ringkas spesfikasi Honda Rebel yang turut dikenali Honda CMX500, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 471 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api (PGM-Fi), DOHC.

Digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan adalah 45.59 Hp pada 8,500 rpm dan tork 43.3 Nm pada 6,000 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopok konvensional daripada jenama Showa (depan) dan penyerap hentak berkembar lengkap dengan 'Sub tank' nitrogen.

Tugas henti pula dijana brek cakera tunggal (depan dan belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran bersama set roda 130/90-16 (depan) dan 150/80-16 (belakang).

Informasi lain adalah seperti penggunaan panel meter digital LCD penuh berbentuk bulat, sistem lampu LED penuh, berat 190 kg, ketinggian pelana 690 mm dan kapasiti tangki bahan api sebesar 11.2 liter.

Seperti biasa, pihak BSH turut menawarkan jaminan selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).