HONDA RS-X (2024) Dapat Warna Baru 'Mat Ion Blue Metallic', Harga Kekal RM 9.8k

TERKINI

2/21/20241 min read

HONDA RS-X, kapcai jagoan Boon Siew Honda (BSH) di Malaysia terus diberikan 'kesegaran' menerusi pilihan warna baharu 'Mat Ion Blue Metallic' hari ini.

Apa yang menarik, tiada peningkatan harga asas diumumkan oleh BSH dengan harga bilik pameran yang disyorkan kekal RM 9,798 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Menurut Honda Motor Malaysia, Honda RS-X (2024) dengan pilihan warna Mat Ion Blue Metallic ini akan tersedia di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara bermula 22 Februari 2024 (esok).

Kehadiran Honda RS-X (2024) dengan pilihan warna Mat Ion Blue Metallic ini mengikuti pengenalan dua pilihan warna terdahulu untuk model yang sama.

Kepada yang masih ingat, BSH pada November tahun lalu mengumumkan Honda RS-X (2024) dengan warna Trico White Edition pada harga jualan RM 9,748 (asas) dan Radiate Gray Metallic pada harga jualan RM 9,698 (asas).

Mengulas ringkas spesifikasi Honda RS-X (2024), ia dijana enjin bersesaran 149.1 cc, 4 Lejang, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, DOHC dengan Suntikan Bahan Api PGM-FI.

Digandingkan dengan transmini 6 kelajuan klac manual, kuasa yang dihamburkan motosikal ini adalah 15.4 Hp pada 9,000 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm.

Dengan rekaan yang 'kacak' dan agresif, antara daya menarik buat Honda RS-X adalah penggunaan sistem brek yang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) satu saluran (roda hadapan).

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan lampu LED penuh, panel meter jenis digital penuh.

Seperti biasa, BSH menawarkan jaminan pembuatan selama 2 tahun atau 20,000km, mana yang tiba dahulu.