HONDA RS-X Edisi Repsol (2023) Kembali Lagi, Terhad 5k Unit, Harga Asas RM 9,998!

TERKINI

10/27/20231 min read

BOON Siew Honda (BSH) mengemaskini panawaran untuk kapcai hangatnya, Honda RS-X dengan memperkenalkan Honda RS-X Edisi Repsol (2023), hari ini yang tersedia dalam kuantiti terhad 5,000 unit.

Harga yang ditawarkan untuk model yang dipadankan dengan skema warna dan corak grafik menggunakan inspirasi pasukan lumba Honda di MotoGP ini adalah RM 9,998 asas (Tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

Apa yang menarik dan sebagai perbandingan, harga jualan untuk versi Honda RS-X Repsol Honda (2022) adalah RM 9,948 (asas) yang diperkenalkan pada April tahun lalu.

Seperti biasa, kemas kini yang dijalankan terhadap model edisi terhad ini terhad kepada 'kosmetik' dan tidak membabitkan rekaan mahupun spesifikasi.

Mengulas ringkas spesifikasi Honda RS-X Edisi Repsol (2023), ia dijana enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah 11.8 kW pada 9,000 rpm dan tork 13.6 Nm pada 7,000 rpm.

Tampil dengan rekaan yang agresif, antara 'kekuatan' Honda RS-X berbanding pencabarnya di pasaran adalah penggunaan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 1 Saluran.

Ciri-ciri menarik lain termasuklah penggunaan sistem lampu LED penuh, panel meter digital penuh dan pembuka pelana untuk kemudahan tambahan kepada penunggang.

Kepada yang berminat, Honda RS-X Edisi Repsol (2023) akan tiba di cawangan pengedar sah BSH seluruh negara mulai 28 Oktober 2023 (esok).

Seperti biasa, jaminan yang ditawarkan oleh BSH kepada motosikal ini adalah selama 2 tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

Untuk maklumat lanjut mengenai Honda RS-X Edisi Repsol (2023), anda boleh datang sendiri ke cawangan pengedar sah Honda Impian X atau menghubungi talian Bebas Tol Boon Siew Honda di 1-800-88-3993 atau melayari laman web rasmi BSH di www.boonsiewhonda.com.my.