HONDA RS-X Winner Edisi Tricolor (2025) Dilancar, Terhad 800 Unit, RM 10.3k!
Lebih menarik, Honda RS-X Winner Edisi Tricolor (2025) juga dihasilkan secara terhad - 800 unit seluruh negara dan menjadikannya antara model paling eksklusif dalam barisan motosikal kapcai berprestasi
PELANCARAN
10/22/20252 min read


HONDA Racing Malaysia, hari ini melancarkan versi edisi istimewa dan terhad model kapcai super popularnya, Honda RS-X Winner Edisi Tricolor (2025) bersempena acara sulung Honda Thanks Day, yang turut diserikan dengan kehadiran barisan pelumba MotoGP Honda.
Kehadiran tiga pelumba - dua daripada pasukan 'kilang' Honda HRC Castrol, Luca Marini dan Joan Mir serta Somkiat Chantra dari LCR Honda jelas menambah kemeriaan.
Turut hadir adalah barisan pelumba-pelumba Honda Racing Malaysia termasuk dua pelumba yang beraksi di pentas WSBK musim ini, Zaqhwan Zaidi, Syarifuddin Azman serta tiga lagi pelumba yang beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Azroy Hakeem Anuar, Md Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi.
Berbalik kepada Honda RS-X Winner Edisi Tricolor (2025), penggunaan warna ikonik Tricolor sememangnya cukup istimewa sinonim dengan legasi perlumbaan Honda.
Lebih menarik, Honda RS-X Winner Edisi Tricolor (2025) juga dihasilkan secara terhad - 800 unit seluruh negara dan menjadikannya antara model paling eksklusif dalam barisan motosikal kapcai berprestasi.
Menjadikannya lebih istimewa, Honda RS-X Winner Edisi Tricolor (2025) turut dipadankan dengan tiga aksesori premium daripada jenama pengeluar komponen 'aftermarket' terkemuka RCB iaitu:
Kaliper brek RCB S-26 Edisi Ulang Tahun ke-30
Grip hendal RCB Nagamaki
Pelindung tuil brek RCB
Selain edisi terhad Tricolor, pilihan warna kuning khas turut ditawarkan pada harga sama, manakala warna standard seperti Hijau, Kelabu Matte dan Biru kekal pada harga RM 9,998.
Ulas trenkuasa, Honda RS-X Winner Edisi Tricolor (2025) dijana enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihasilkan adalah 11.8 kW pada 9,000 rpm dan tork 13.6 Nm pada 7,000 rpm.
Ciri-ciri menarik:
Diiktiraf Kenderaan Cekap Tenaga (EEV)
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 1 Saluran
Sistem kunci pintar lengkap penggera anti-kecurian, fungsi Answer Back
Port pengecas USB kalis air
Lampu LED penuh
Ekzos sporty 'tembak muka',
Rim aloi baharu,
Ada penarafan 5-Bintang MyMAP
Seperti biasa, barisan model Honda Motor Malaysia akan dilengkapi jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km (mana-mana terdahulu), serta perlindungan jarak tanpa had selama setahun menerusi kempen Honda X-tend yang sah sehingga 31 Disember 2025.
Kepada yang berminat, Honda RS-X Winner Tricolor (2025) akan mula berada di semua pengedar sah Honda dan pusat IMPIAN X bermula 1 Disember ini.

