HONDA Senarai Azroy Hakeem Beraksi Di Suzuka 8 Hours 2025
Penampilan sulung pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar pada perlumbaan enduran berprestij Suzuka 8 Hours 2025 selepas namanya disenarai untuk mewakili pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo di perlumbaan berkenaan.
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
6/17/20251 min read


PELUMBA pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia, Azroy Hakeem Anuar bakal membuat penampilan sulungnya pada perlumbaan enduran berprestij Suzuka 8 Hours 2025 selepas namanya disenarai untuk mewakili pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo di perlumbaan berkenaan.
Pada perlumbaan yang dijadual berlangsung di Litar Suzuka, Jepun dari 1 hingga 3 Ogos ini itu, Azroy akan bergandingan dengan pelumba berpengalaman dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapat serta pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar.
Azroy yang turut beraksi di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2025 meraih kemenangan berganda dalam kategori elit ASB1000 kejuaraan itu pada Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS, baru-baru ini.
"Ini kali pertama saya mengambil bahagian dalam perlumbaan enduran bersama pasukan Honda Asia-Dream Racing with Astemo. Sasaran saya adalah untuk mempelajari banyak perkara daripada rakan sepasukan saya dan cuba mengadaptasi dengan cepat.
"Saya akan melakukan yang sebaik mungkin untuk menyumbang kepada pasukan," kata Azroy yang akan berlumba menggunakan jentera Honda CBR1000RR-R Fireblade.
Seperti diketahui, perlumbaan Suzuka 8 Hours yang memasuki edisi ke-46 tahun ini turut berada dalam kalendar Kejuaraan Enduran Dunia FIM (EWC) serta menampilkan ramai pelumba terbaik dunia termasuk dari MotoGP dan WorldSBK.
Begitupun sebelum beraksi di Suzuka, Azroy begitupun akan terlebih dahulu menumpukan perhatian terhadap Pusingan 3 ARRC 2025 yang dijadual berlangsung bulan hadapan di Litar Motegi, Jepun.
Pelumba berusia 26 tahun itu ketika ini sedang mendahului carta keseluruhan pelumba kategori elit ASB1000 selepas mengumpul 71 mata selepas dua pusingan di Thailand dan Malaysia.
Sebagai rekod, perlumbaan Suzuka 8 Hours adalah antara medan persaingan antara pengeluar besar dunia dari Jepun seperti Honda, Yamaha, Suzuki, Kawasaki dan disertai pengeluar gergasi lain seperti Ducati dan Aprilia.
