HONDA Tak Akan 'Rebut' Pelumba Masih Dalam Kontrak
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/24/20251 min read


HONDA 'berminat' untuk mendapatkan khidmat penyandang juara dunia MotoGP, Jorge Martin tetapi menegaskan tidak akan cuba merampas pelumba yang masih memiliki kontrak dengan pihak lain.
Pelumba Aprilia, Martin menjadi topik utama perbincangan di paddock sejak kebelakangan ini susulan laporan yang menyatakan dia sedang mencari jalan keluar meninggalkan pengeluar Itali itu pada penghujung tahun ini.
Aprilia menafikan spekulasi itu menjelang Grand Prix British dengan menjelaskan tidak perbincangan membabitkan perkara itu berlaku dengan Martin dijadual menyertai acara Aprilia pada minggu depan.
Bos Honda MotoGP, Alberto Puig dalam responnya berkata adalah 'tidak bijak' untuk tidak mempunyai minat terhadap pelumba dengan kaliber seperti Martin tetapi menegaskan pengeluar Jepun itu tidak akan membuat sebarang cubaan kepada pelumba yang masih mempunyai kontrak.
"Ada kemungkinan, ada khabar angin di paddock dan kami masih perlu melihat apa yang akan berlaku," kata Puig mengenai kekosongan di pasukan 'kilang' Honda pada 2026.
"Honda adalah jenama yang mahu pelumba datang dan berlumba untuk kami. Ini adalah keutamaan. Ini adalah tempoh di mana kami masih menunggu dan melihat kemungkinan yang ada.
"Tetapi ketika ini, saya berbohong kepada kamu jika saya berkata kami memiliki pelan yang jelas mengenai apa yang kami mahu lakukan."
Ketika ditanya mengenai kenyataan Aprilia yang ditujukan kepada Honda, jawapan Puig: "Saya tidak berfikir seperti itu. Sudah tentu, bukan saja Honda, tetapi saya fikir semua pasukan di paddock berminat dengan pelumba seperti Martin, dia adalah juara dunia.
"Jika kamu tidak berminat, kamu adalah bodoh. Tetapi kami tidak pernah akamn mencuba mendapatkan pelumba yang masih memiliki kontrak dengan pihak lain. Semua orang mengetahui perkara ini dan ini bukan gaya Honda.
"Kami tidak pernah akan mengharungi masalah seperti ini. Tetapi jika kamu bertanya kepada saya adalah kami berminat dengan Jorge Martin sebagai pelumba, sudah tentu."
Honda HRC memiliki satu kekosongan pada musim depan apabila kontrak Luca Marini beraksi pada hujung musim ini dengan Puig berkata perbincangan mengenai kempen 2026 sedang berjalan.
Selain Martin, antara pelumba yang dikaitkan dengan Honda terutama kerusi di pasukan kilang adalah Johann Zarco dan pelumba KTM, Pedro Acosta yang turut memiliki kontrak sehingga 2026.
