HONDA Tak Akan Tarik Diri Dari MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/15/20231 min read

MARC Marquez diberi jaminan oleh bos besar Honda yang pasukan itu tidak akan menarik diri daripada kancah MotoGP.

Khabar angin mengenai prospek penarikan diri Honda daripada saingan elit motosikal dunia itu kuat bertiup sekaligus mengikuti jejak satu lagi pasukan Jepun, Suzuki.

Begitupun, ia 'dimatikan' oleh Presiden HRC (Honda Racing Corporation) Yasuharu Watanabe yang turut memperincikan perbincangannya dengan bintang pasukan itu, Marquez.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Watanabe berkata: "Kita boleh menafikan perkara itu di sini. Kami tidak akan menarik diri.

Sepanjang musim ini, Marquez dan rakan sepasukannya, Joan Mir hanya melengkapkan satu pusingan perlumbaan manakala pelumba pasukan satelit, Alex Rins meninggalkan LCR Honda selepas hanya setengah musim.

"Kami tiada pilihan selain daripada menghasilkan jentera yang pantas dan boleh menang," kata Watanabe.

"Setiap kali saya pergi ke lokasi MotoGP, saya sentiasa mengadakan perbincangan panjang dengan Marc. Kami perlu menghasilkan dan memberikan jentera yang kamu mahukan, dan kami akan melakukannya sepantas yang mungkin.

"Juga (Saya memberitahu Marquez), kerana kamu mempunyai jangka masa kamu sendiri, jika ada sesuatu yang kami tidak bersetuju, mungkin tidak mustahil untuk mengambil setiap keputusan dari masa ke masa.

"Tetapi, kami dan dia mempunyai sasaran yang sama. Oleh itu, ayuh bekerja keras bersama-sama tanpa mengalah sehingga semuanya berakhir," katanya.

Bersama Honda, Marquez menghadiahkan pasukan itu enam kejuaraan dunia MotoGP namun kali terakhir kejayaan itu dicapai adalah pada musim 2019 sebelum dipalit masalah.

"Sukar untuk mencari puncanya, kerana saya fikir itu salah satu alasannya adalah kami tidak mengubas asas kami berikutan kejayaan kami terdahulu," kata Watanabe.