HONDA Vario 125 (2024) Diumumkan BSH, Empat Warna Baharu, RM 7.3k!
TERKINI
8/8/20241 min read
HONDA Vario 125 dilancarkan di pasaran Malaysia pada awal tahun lalu dan model berkenaan diberikan kemas kini 'kosmetik' membabitkan pilihan warna oleh Boon Siew Honda (BSH) bagi versi 2024.
Selain pilihan warna baharu yang dikatakan lebih menarik - Magenta, Black, Silver dan Red - turut dikemaskini adalah corak grafik yang dipadankan.
Dan seperti pengumuman kemas kini baharu, harga yang ditawarkan mengalami sedikit kenaikan berbanding ketika dilancarkan iaitu RM 7,268 (asas).
Sebagai rekod, ketika dilancarkan Mac lalu, BSH meletakkan tanda harga RM 7,080 (asas) untuk model yang menggunakan rekaan Honda Vario 150 itu.
Tiada perubahan membabitkan rekaan mahupun spesifikasi, trenkuasa yang dipadankan kekal enjin bersesaran 124.9 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.
Menggunakan transmisi automatik CVT, kuasa yang dihamburkan skuter yang mendapat penarafan jimat tenaga atau 'Energy Efficient Vehicle' (EEV) ini adalah 11.5 Hp pada 8,500 rpm dan tork 11.74 Nm pada 5,000 rpm.
Turut mendapatkan penarafan tiga bintang MyMap, sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) manakala sistem brek menggunakan cakera (depan) dan dram (belakang) bersama sistem Combi.
Antara ciri-ciri menarik yang dipadankan termasuklah Sistem Kunci Pintar yang mengandungi Penggera Anti Kecurian, Panggilan Balik dan akses mudah ke ruang simpanan bawah pelana.
Turut memiliki sistem 'Idling Stop' yang didakwa canggih, panel meter yang digunakan adalah digital penuh LCD dengan kemudahan lain adalah seperti Brek Parking.
Informasi lain adalah seperti berikut:
Port pengecas USB
Sistem lampu LED penuh
Ruang simpanan bawah pelana 18 liter
Tangki bahan api 5.5 liter
Set roda 90/80-14 (depan), 100/80-14 (belakang)
Berat 112 kg
Tinggi pelana 769 mm
Kepada yang berminat, Honda Vario 125 (2024) akan mula berada di cawangan pengedar Honda Impian X dan pengedar rasmi BSH bermula 17 Ogos depan.
Dan seperti biasa, setiap pembelian akan ditawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).