HONDA Vario 160 (2024) Dapat Warna Baharu, Harga Asas RM 10,198!

TERKINI

9/20/20241 min read

HONDA Vario 160 (2024) terus diberikan kemas kini oleh pengedar eksklusifnya, Boon Siew Honda (BSH) menerusi penambahan dua pilihan warna baharu - Blue dan Red - bersama harga asas RM 10,198.

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah disyorkan pengeluar, tidak termasuk cukai jalan, insuran, pendaftaran dan belum 'sampai' cawangan pengedar.

BSH sebelum ini memperkenalkan dua pilihan warna baharu untuk model sama namun bagi varian dengan warna premium pada Julai lalu. Dan harga jualan yang diumumkan untuk varian berkenaan adalah RM 10,498 (asas).

Di bahagian trenkuasa, Honda Vario 160 (2024) dijana enjin eSP+ bersesaran 157 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 15.3 Hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 13.8 Nm pada 7,000 rpm.

Suspensi yang menjana skuter ini adalah fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Sistem brek pula menggunakan cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal. Set roda adalah 120/70-14 (depan) dan 100/80-14 (belakang).

Ciri-ciri premium dan menarik termasuklah Sistem Kunci Pintar yang memiliki penggera dan panggilan semula, port pengecas USB-A, ruang simpanan bawah pelana 18 liter, panel meter digital LCD, kapasiti tangki bahan api 5.5 liter, tinggi pelana 778 mm dan sistem lampu LED penuh.

Seperti biasa, BSH turut menawarkan jaminan iaitu selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

Menurut BSH, Honda Vario 160 (2024) dengan warna baharu ini akan mula tiba di cawangan pengedar sahnya pada 23 September ini.