HONDA Vario 160 (2025) Dapat Warna Baharu Di Malaysia, Harga Mula RM 10.2k!
TERKINI
4/10/20251 min read


BOON Siew Honda (BSH), hari ini mengumumkan pilihan warna baharu untuk skuter bergaya 'Sporty' popularnya, Honda Vario 160 (2025) yang dikatakan lebih 'segar' dan menarik.
Secara keseluruhan, tiga pilihan warna baharu diperkenalkan dengan perincian adalah seperti berikut:
Yellow - Honda Vario 160 (2025) Standard
Silver, Matte Red - Honda Vario 160 (2025) Special Edition (SE)
Harga untuk varian Standard adalah RM 10,198 (asas) manakala untuk varian SE, harganya adalah RM 10,498.
Apa yang menarik, BSH turut mengekalkan tiga pilihan warna terdahulu iaitu dua untuk varian Standard, Blue & Red dengan harga asas RM 10,198 dan Green & Matte Blue untuk varian SE bersama harga RM 10,498.
Sementara itu, tiada perubahan dari sudut rekaan mahupun spesifikasi trenkuasa berlaku dengan Honda Vario 160 (2025) kekal dengan padanan enjin eSP+ bersesaran 157 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api PGM-Fi, SOHC dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah 15.3 Hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 13.8 Nm pada 7,000 rpm.
Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan sistem henti dijana brek cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal.
Memperoleh penarafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), ciri-ciri premium dan menarik termasuklah Sistem Kunci Pintar yang memiliki penggera dan panggilan semula, port pengecas USB-A, ruang simpanan bawah pelana 18 liter, panel meter digital LCD dan dan sistem lampu LED penuh.
Informasi lain adalah seperti set roda adalah 120/70-14 (depan) dan 100/80-14 (belakang), kapasiti tangki bahan api 5.5 liter, tinggi pelana 778 mm.
Seperti biasa, BSH turut menawarkan jaminan iaitu selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
BSH mengumumkan yang kesemua pilihan warna baharu ini akan mula berada di cawangan pengedar Honda Impian X dan pengedar sah Honda Motor Malaysia bermula esok.














