HONDA Vario 160 Edisi Repsol (2023) Tiba Di Pasaran Tempatan, Terhad 2k Unit, Harga RM 10,498!

PELANCARAN

7/19/20231 min read

HONDA Vario 160 rasmi memasuki pasaran tempatan, November tahun lalu dan tak menunggu lama, Boon Siew Honda (BSH) mengemaskini penawaran skuter berwatak 'Sporty' itu menerusi pengenalan versi Edisi Repsol, hari ini.

Tersedia dengan skema warna dan corak grafik ala pasukan Repsol Honda yang bersaing di pentas MotoGP, HONDA Vario 160 Edisi Repsol (2023) dijual pada harga asas RM 10,498.

Harga itu seperti biasa adalah yang disyorkan oleh pengeluar tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Dan lebih menarik, hanya 2,000 unit Honda Vario 160 Edisi Repsol (2023) diperuntukkan oleh BSH dengan ketersediaan produk bermula pada 20 Julai 2023 (Khamis).

Mengulas ringkas spesifikasi Honda Vario 160 Edisi Repsol (2023), skuter ini dikuasakan enjin enhanced Smart Power (eSP+) bersesaran 157 cc, 1 Silinder, 4 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, yang digandingkan dengan transmisi automatik.

Kuasa yang dihamburkan adalah 15.3 PS pada 8,500 rpm dan tork 13.8 Nm pada 7,000 rpm.

Menggunakan kerangka baharu 'enhances Smart Architecture Frame (eSAF), brek Honda Vario 160 Edisi Repsol (2023) turut dipadankan dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Satu saluran (roda depan) dengan brek cakera (belakang).

Dan antara ciri-ciri menarik yang dipadankan termasuklah sistem Lampu LED penuh, Honda Smart Key System dengkap dengan penggera dan 'answer back system' serta soket pengecas USB type A.

Seperti biasa, BSH menawarkan jaminan pembuatan selama 2 tahun atau 20,000 km (Yang mana tiba dahulu).

Ketika dilancarkan, Honda Vario 160 dijual dalam empat varian warna dan harga berbeza.

Untuk pilihan warna Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue, Sword Silver Metallic, harga yang diumumkan adalah RM 9,998 (asas) dan untuk Mat Charcoal Grey Metallic, ia dijual pada harga RM 10,298 (asas).

Untuk maklumat lanjut mengenai Honda Vario 160 Edisi Repsol, boleh hubungi nombor Bebas Tol Boon Siew Honda di 1-800-88-3993 atau melayari laman web www.boonsiewhonda.com.my.