HONDA Winner X (2024) Dikemaskini Di Vietnam, Tiada Peningkatan Trenkuasa!

TERKINI

12/19/20231 min read

SEBAGAI negara debut kepada kapcai 'Super moped' handalan Honda Winner X (Honda RS-X di Malaysia) di pasaran antarabangsa, kemas kini terhadap motosikal berkenaan di Vietnam sentiasa menjadi perhatian.

Mendapat kemas kini baru-baru ini, begitupun perubahan yang berlaku kepada motosikal berkenaan bukan seperti yang diharapkan namun hanya membabitkan 'kosmetik'.

Dan apabila bercakap berkenaan 'kosmetik', perubahan yang berlaku hanya membabitkan kejuruteraan 'cover set' iaitu pilihan warna dan corak grafik baharu yang didakwa lebih segar dan menarik.

Tidak seperti di Malaysia, Honda Winner X (2024) datang dengan tiga varian iaitu Standard, Special dan Sport.

Perincian adalah seperti berikut:

  • Honda Winner X (2024) Standard - Black Silver, Black White, Red Black

Harga: 46,160,000 VND (RM 8,932)

  • Honda Winner X (2024) Special - Black, Red Black dan Silver Black

Harga: 50,060,000 VND (RM 9,686)

  • Honda Winner X (2024) Sport - Red Black White

Harga: 50,560,000 VND (RM 9,783)

Sama seperti Honda RS-X di Malaysia, Honda Winner X (2024) dipadankan dengan enjin bersesaran 149.1 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 15.4 Hp pada 9,000 rpm dan tork 13.5 Nm pada 6,500 rpm.

Dan seperti diketahui, trenkuasa itu adalah trenkuasa yang sama sejak Honda Winner X diperkenalkan beberapa tahun lalu yang menyaksikan perubahan terhadap aspek berkenaan amat diharapkan terutama untuk kekal relevan di pasaran.

Sebagai info, Honda Winner X di pasaran Vietnam pada ketika ini adalah versi naik taraf 'Facelift' yang diperkenalkan pada Disember 2021.

Setakat ini, Honda RS-X di Malaysia masih belum memperoleh versi 'Facelift' itu yang menyaksikan beberapa perubahan berlaku antaranya tiada lagi lampu signal capang.

Peningkatan lain yang diberikan kepada Honda Winner X versi terbaharu adalah Sistem Kunci Pintar, slot pengecas USB dan rantai O-Ring.

Kepada yang tak tahu, Honda RS-X pada satu ketika pernah mencantas populariti Yamaha Y16ZR di Malaysia berikutan rekaannya yang menarik selain harganya yang lebih murah.