HONDA X-ADV (2026) Diumum Untuk Pasaran Malaysia, Harga Mula RM 70,999!
Pilihan warna baharu untuk Honda X-ADV (2026) adalah Matte Pearl Glare White dan ia hadir bagi menggantikan pilihan warna istimewa terdahulu Matte Goldfinch Yellow. Bersama kemas kini itu adalah kenaikan harga RM 1k iaitu RM 71,999
TERKINI
3/3/20261 min read


HONDA Motor Malaysia mengumumkan kemas kini 'kosmetik' untuk model skuter aras tinggi popularnya, Honda X-ADV (2026) yang kini tampil dengan pilihan warna istimewa baharu - Matte Pearl Glare White.
Pilihan warna Matte Pearl Glare White hadir di katalog Honda Big Bike Malaysia bagi menggantikan pilihan warna istimewa terdahulu Matte Goldfinch Yellow dan bersama kemas kini itu adalah kenaikan harga RM 1k iaitu RM 71,999.
Seperti pilihan warna Matte Goldfinch Yellow, antara keunikan pilihan warna istimewa ini ia memiliki corak grafik yang dikatakan unik dan moden bertemakan 'Cyberpunk'.
Selain satu pilihan warna baharu, turut dikekalkan adalah dua pilihan warna terdahulu iaitu Matte Deep Mud Gray dan Graphite Black bersama harga jualan asas juga meningkat RM 1k kepada RM 70,999.
Sebagai info, Honda X-ADV (2026) di Malaysia adalah model generasi ketiga dan terbaharu termasuk di pasaran global.
Justeru, tiada perubahan membabitkan rekaan mahupun trenkuasa dengan Honda X-ADV (2026) kekal dikuasakan oleh enjin bersesaran 750 cc, 2-Silinder Parallel-Twin, Lapan Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api bersama trenkuasa DCT.
Kuasa yang dihamburkan berada pada angka 58 Hp pada 6,750 rpm dan tork 69 Nm pada 4,750 rpm.
Dan sebagai model generasi baharu, pelbagai pembaharuan dan kemas kini yang dijalankan termasuk daripada sudut rekaan, trenkuasa, sistem elektronik dan sebagainya dan antara sistem yang membuatkannya lebih 'syok' ditunggang untuk melayan aktiviti jelajah terutama di lebuh raya adalah 'Cruise control'.
Seperti biasa, setiap pembelian datang dengan tawaran jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan (yang mana tiba dahulu).
Perlu diingatkan, harga yang diumumkan adalah yang disyorkan oleh pihak Boon Siew Honda (BSH) dan belum sampai ke tangan pengedar.







