HONDA X-ADV 750 (2025) Buat Kemunculan, Dah Ada 'Cruise Control'!

TERKINI

9/28/20242 min read

HONDA memperkenalkan generasi ketiga skuter bergaya 'Adventure' aras tinggi popularnya, Honda X-ADV 750 (2025) yang memperoleh pelbagai naik taraf termasuk sistem antara dinantikan penggemarnya iaitu 'Cruise control'.

Sebagai model generasi baharu, perubahan yang turut berlaku termasuk di bahagian reka bentuk dan paling ketara pastinya di bahagian hadapan yang tampak mungkin kurang menonjol tetapi tetap garang.

Sekalipun penampilannya tampak lebih sasa, rekaan lampu depan baharu kelihatan lebih runcing dan tajam berbanding generasi terdahulu.

Untuk Honda X-ADV 750 (2025), Honda juga nampaknya mendengar keluhan ramai penggunanya dengan memadankan sistem yang dianggap memberi kemudahan ketika melakukan aktiviti menjelajah 'Cruise control' secara standard.

Sekalipun memiliki reka bentuk serta nama yang nampak ganas 'Adventure', tetapi rata-rata pengguna Honda X-ADV 750 tidak membawa skuter berkenaan untuk meredah laluan lasak dengan aktiviti tertumpu kepada 'touring' atau penjelajahan.

Justeru, kehadiran sistem 'Cruise control' pada Honda X-ADV 750 (2025) cukup dialu-alukan terutama bagi penggemar aktiviti berkenaan.

Bagi 'membantu' alam sekitar pula, Honda turut menggunakan lebih banyak bahan 'polycarbonate resin' untuk bahagian panel badan Honda X-ADV 750 (2025) selain ia kini mematuhi piawaian emisi Euro5+.

Mengulas trenkuasa, tiada perubahan dilakukan dengan Honda X-ADV (2025) kekal dipadankan dengan enjin bersesaran 750 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Kuasa yang dihamburkan adalah 58 Hp pada 6,750 rpm dan tork 69 Nm pada 4,750 rpm.

Begitupun, Honda menaik taraf sistem transmisi DCT (dual-clutch transmission) dengan ia kini dikatakan lebih responsif ketika enjin dihidupkan, berhenti dan ketika bergerak dalam keadaan perlahan.

Seperti sebelum ini, sistem DCT mengekalkan dua mod iaitu - Manual dan Automatik dengan mod Manual membolehkan penunggang menaik dan menurunkan gear menggunakan butang tambah (+) dan tolak (-) di bahagian kiri 'handle bar' dan turut mempunyai lima tetapan.

Secara keseluruhan, empat mod tunggangan turut tersedia iaitu Standard, Sport, Rain dan Gravel yang masing-masing mempunyai tetapan tersendiri dabn turut dipertingkatkan adalah sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Tetapi sedikit mengecewakan, Honda masih tidak memberikan ciri visor angin dengan tetapan elektrik kepada Honda X-ADV 750 (2025) namun pelarasannya kini dikatakan lebih mudah.

Selain itu, pembaharuan lain termasuklah penggunaan panel meter baharu bersaiz 5 inci yang dikatakan lebih terang dan mudah dilihat sekalipun di bawah matahari yang terik dengan butang tetapan yang lebih mudah diakses.

Seperti biasa, panel meter TFT digital baharu ini memiliki ciri sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Honda RoadSync dan membenarkan pengguna menggunakan sistem navigasi (turn-by-turn).

Perubahan lain yang boleh dianggap besar adalah Honda turut meningkatkan kapasiti simpanan bawah pelananya kepada 21 liter yang kini boleh memuatkan sebuah helmet 'full face'.