HONDA X-ADV 750 (2025) Rasmi Di Malaysia, Gen 3, Harga Mula RM 69,999!
PELANCARAN
3/19/20252 min read


SEDAR dengan populariti tinggi dimiliki skuter aras tingginya Honda X-ADV 750, pihak Boon Siew Honda (BSH) tidak menunggu lama untuk mengumumkan kehadiran generasi ketiga model berkenaan ke pasaran tempatan.
Begitupun, kehadiran skuter yang mendapat permintaan cukup tinggi itu hanya dibuat menerusi satu siaran media, hari ini dengan kelibatnya dijangka akan dipertontonkan pada satu majlis, minggu depan.
Mengikuti laporan sebelum ini, Gen 3 Honda X-ADV 750 ini membuat debut globalnya pada September tahun lalu.
Dan sebagai model generasi baharu, pelbagai pembaharuan dan kemas kini yang dijalankan termasuk daripada sudut rekaan, trenkuasa, sistem elektronik dan sebagainya.
Tetapi paling mendapat perhatian kami adalah ia kini sudah memiliki sistem yang membuatkannya lebih 'syok' ditunggang untuk aktiviti jelajah terutama di lebuh raya iaitu 'Cruise control' atau kawalan jelajah.
Perlu diakui, sekali ia memiliki reka bentuk serta nama yang nampak ganas 'ADV' atau 'Adventure', tetapi rata-rata pengguna skuter tidak membawa skuter berkenaan untuk meredah laluan lasak dengan aktiviti tertumpu kepada 'touring' atau penjelajahan.
Sebelum pergi lebih jauh, pihak BSH memperkenalkan empat pilihan warna untuk pasaran tempatan dengan perincian termasuk harga adalah seperti berikut:
Matte Deep Mud Gray - RM 69,999
Pearl Glare White - RM 69,999
Graphite Black - RM 69,999
Matte Goldfinch Yellow - RM 70,999
Apa yang menyebabkan pilihan warna Matte Goldfinch Yellow lebih mahal adalah berikutan ia mengikuti tema 'Cyberpunk' dengan sentihan futuristik.
Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah disyorkan pengilang, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan, insuran serta belum tiba di cawangan pengedar.
Di bahagian rekaan, penampilan Honda X-ADV 750 (2025) masih kekal garang dan dikatakan lebih sasa tetapi ada berpendapat ia kurang menonjol berbanding model Gen 2.
Tetapi sekali pun rekaan tambah besar, rekaan lampu depan baharu kelihatan lebih runcing dan tajam berbanding generasi terdahulu.
Mengulas trenkuasa, tiada perubahan dilakukan dengan Honda X-ADV (2025) kekal dipadankan dengan enjin bersesaran 750 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, 8 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan sistem transmisi DCT (dual-clutch transmission) dengan sistem pacuan rantai.
Tetapi ia kini mematuhi piawaian emisi Euro5+.
Kuasa yang dihamburkan adalah 58 Hp pada 6,750 rpm dan tork 69 Nm pada 4,750 rpm.
Dan untuk sistem transmisi DCT, ia turut dikemas kini dan didakwa lebih responsif ketika enjin dihidupkan, berhenti dan ketika bergerak dalam keadaan perlahan.
Seperti sebelum ini, sistem DCT mengekalkan dua mod iaitu - Manual dan Automatik dengan mod Manual membolehkan penunggang menaik dan menurunkan gear menggunakan butang tambah (+) dan tolak (-) di bahagian kiri 'handle bar' dan turut mempunyai lima tetapan.
Secara keseluruhan, empat mod tunggangan turut tersedia iaitu Standard, Sport, Rain dan Gravel yang masing-masing mempunyai tetapan tersendiri dabn turut dipertingkatkan adalah sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC).
Selain itu, pembaharuan lain termasuklah penggunaan panel meter baharu bersaiz 5 inci yang dikatakan lebih terang dan mudah dilihat sekalipun di bawah matahari yang terik dengan butang tetapan yang lebih mudah diakses.
Seperti biasa, panel meter TFT digital baharu ini memiliki ciri sambungan ke telefon pintar menerusi aplikasi Honda RoadSync dan membenarkan pengguna menggunakan sistem navigasi (turn-by-turn).
Perubahan lain yang boleh dianggap besar adalah Honda turut meningkatkan kapasiti simpanan bawah pelananya kepada 21 liter yang kini boleh memuatkan sebuah helmet 'full face'.
Bagi 'membantu' alam sekitar pula, Honda turut menggunakan lebih banyak bahan 'polycarbonate resin' untuk bahagian panel badan Honda X-ADV 750 (2025).
Tetapi sedikit mengecewakan, Honda masih tidak memberikan ciri visor angin dengan tetapan elektrik kepada Honda X-ADV 750 (2025) namun pelarasannya kini dikatakan lebih mudah.
Seperti biasa, setiap pembelian datang dengan tawaran jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km perjalanan (yang mana tiba dahulu).




















