HONDA X-ADV Special Edition (2024) Diperkenal Di Eropah, Logo Makin Besar, Tapi...
7/27/20232 min read
SALAH satu model motosikal/skuter Honda terlaris di Eropah, Honda X-ADV 750 mendapat kemas kini terbaharu bagi versi 2024 menerusi penambahan Honda X-ADV 750 Special Edition (2024), baru-baru ini.
Begitupun, kemas kini yang dijalankan itu hanya membabitkan teknologi perubahan 'warna' dan corak grafik yang katanya lebih menarik dan sofistikated.
Sebagai info, Honda X-ADV 750 adalah model motosikal/skuter ketiga terlaris Honda di Eropah dalam segmen 350 cc ke atas jenama Jepun itu dan hanya 'kalah' kepada Honda CB650R dan Honda CRF1100L Africa Twin.
Sebelum pergi lebih jauh, pilihan warna yang ditawarkan untuk versi Special Edition adalah Iridium Gray Metallic dan Grand Prix Red.
Lebih menarik dan menjadikannya 'istimewa', ia digandingkan dengan corak grafik yang lebih mencolok mata dan besar.
Selain dua pilihan yang datang dengan nama Special Edition itu, skema warna baharu yang turut ditawarkan adalah Puco Blue manakala pilihan warna Matt Ballistic Black Metallic dikekalkan.
Tiada perubahan dari sudut rekaan dan trenkuasa. Justeru, ia kekal dengan enjin bersesaran 745 cc, 2 Silinder, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.
Sistem transmisi yang digunakan adalah DCT ( Dual-clutch transmission) 6-kelajuan jenis dua klac basah hidraulik multiplat yang memacu roda belakang menggunakan rantai.
Kuasa yang dihamburkan adalah 57.8 Hp pada 6,750 rpm dan tork 69 Nm pada 4,750 rpm.
Sebagai antara model termaju Honda, Honda X-ADV 750 (2024) dipadankan dengan Sistem Throttle By Wire. Empat mod tunggangan tersedia iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel, User (tetapan sendiri) selain Sistem HSTC (Honda Selectable Torque Control) tiga tahap.
Informasi penting lain adalah seperti berikut:
Panel meter digital LCD lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar
Kapasiti tangki bahan api 13.2 liter
Berat 236 kg
Ketinggian pelana 820 mm
Jarak lega bumi 165 mm
Suspensi - Fork terbalik (USD) depan dan Penyerap Hentak Tunggal (belakang)
Set roda 120/70-17 (depan), 160/60-15
Brek - Cakera berkembar 296 mm kaliper brek 4-piston (depan), Cakera tunggal 240 mm (belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran.
Sebagai model 'pemula' kepada skuter berkonsepkan 'Adventure', Honda X-ADV 750 menjadi ilham kepada Honda untuk menghasilkan Honda ADV 160 dan Honda ADV 350 yang ketika ini dinanti-nantikan tiba di pasaran tempatan.
Di pasaran tempatan, pihak Boon Siew Honda (BSH) mengemas kini penawaran bagi Honda X-ADV 750 (2023) pada Februari lalu menerusi pilihan warna baharu Shasta White dan dijual pada harga asas RM 68,899 (asas).