HONDA X-ADV Terima Pilihan Warna Baharu Di Thailand, Harga Mula 57.3k!

TERKINI

12/29/20231 min read

SKUTER bergaya 'Adventure' popular keluaran Honda di seantero dunia, Honda X-ADV 750 baru-baru ini mendapat kemas kini terbaharu di pasaran negara jiran, Thailand.

Tetapi jangan begitu gusar kerana kemas kini yang dijalankan itu hanya membabitkan teknologi perubahan 'warna' dan corak grafik yang didakwa lebih menarik dan sofistikated.

Pilihan warna baharu yang ditawarkan adalah 'Iridium Gray Metallic' dan 'Grand Prix Red' bersama corak grafik yang menarik.

Selain itu, pilihan warna 'Mat Ballistic Black Metallic' seperti yang turut dijual di Malaysia juga dikekalkan.

Harga yang diumumkan adalah seperti berikut:

  • 'Mat Ballistic Black Metallic' - 425,000 baht (RM 57,319)

  • 'Iridium Gray Metallic', 'Grand Prix Red' - 430,000 baht (RM 57,784)

Sebagai info, kedua-dua pilihan warna terbaharu itu membuat kemunculan perdananya pada pertengahan tahun lalu di pasaran Eropah.

Seperti yang dikatakan lebih awal, tiada perubahan dari sudut rekaan mahupun trenkuasa. Jadi, ia kekal dengan enjin bersesaran 745 cc, 2 Silinder, 8 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC.

Sistem transmisi yang digunakan adalah DCT ( Dual-clutch transmission) 6-kelajuan jenis dua klac basah hidraulik multiplat yang memacu roda belakang menggunakan rantai.

Kuasa yang dihamburkan adalah 57.8 Hp pada 6,750 rpm dan tork 69 Nm pada 4,750 rpm.

Sebagai antara model tercanggih buatan Honda, Honda X-ADV 750 (2024) dipadankan dengan Sistem 'Throttle By Wire' yang memberikan empat mod tunggangan (Standard, Sport, Rain, Gravel, User (tetapan sendiri) selain Sistem HSTC (Honda Selectable Torque Control) tiga tahap.

Informasi penting lain adalah seperti panel meter digital LCD lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar, kapasiti tangki bahan api 13.2 liter, tinggi pelana 820 mm, jarak lega bumi 165 mm dan berat 236 kg.

Sistem suspensi menggunakan fork terbalik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal (belakang) dengan sistem brek menggunakan cakera berkembar 296 mm kaliper brek 4-piston (depan), Cakera tunggal 240 mm (belakang) lengkap Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran dengan set roda 120/70-17 (depan), 160/60-15 (belakang).

Di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) mengemas kini penawaran bagi Honda X-ADV 750 (2023) pada Februari lalu menerusi pilihan warna baharu Shasta White dan dijual pada harga asas RM 68,899 (asas).