HONDA, Yamaha Akan Bangkit - Jorge Lorenzo

Pasukan yang memiliki deretan kejayaan, Honda dan Yamaha ketika ini bergelut menyaingi kehebatan jentera Eropah seperti Ducati, Aprilia dan KTM namun Lorenzo menegaskan pengeluar yang memiliki sejarah hebat itu 'pasti akan kembali'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/17/20261 min read

JORGE Lorenzo percaya dua pengeluar gergasi Jepun, Honda dan Yamaha hanya menunggu masa sebelum kembali berada di kelompok depan MotoGP.

Pasukan yang memiliki deretan kejayaan, Honda dan Yamaha ketika ini bergelut menyaingi kehebatan jentera Eropah seperti Ducati, Aprilia dan KTM namun Lorenzo menegaskan pengeluar yang memiliki sejarah hebat itu 'pasti akan kembali'.

Untuk rekod, Honda dan Yamaha adalah dua pengeluar paling berjaya dalam sejarah kelas perdana di MotoGP dengan penguasaan gabungan 39 kejuaraan dunia – Honda memegang rekod 21 manakala Yamaha terikat 18 kejuaraan bersama MV Agusta.

Begitupun nasib tidak menyebelahi mereka apabila terperosok di kedudukan terbawah carta pengeluar MotoGP sejak 2023.

Kali terakhir penunggang Honda dinobatkan sebagai juara dunia adalah pada 2019 menerusi Marc Marquez dan Yamaha pada 2021 (Fabio Quartararo), sebelum Ducati mendominasi empat kejuaraan terakhir berturut-turut.

Lebih mengecewakan kemerosotan prestasi itu menyaksikan kedua-duanya menerima 'talian hayat' konsesi teknikal tambahan.

Lorenzo yang pernah meraih tiga kejuaraan dunia MotoGP Yamaha berkata, keputusan pasukan itu beralih kepada projek pembangunan enjin V4 baharu adalah satu langkah tepat.

"Kadangkala anda perlu mengorbankan keputusan jangka pendek untuk memulakan projek (V4) baharu, itu tidak dapat dielakkan. Yamaha perlu berubah secepat mungkin untuk menimba pengalaman dan mendapatkan masa depan yang lebih cerah. Jadi, mereka memilih hala tuju ini.

"Tetapi saya fikir Honda dan Yamaha, mereka sentiasa akan bangkit. Mereka sangat berkuasa, mempunyai sejarah yang hebat dan bajet yang besar. Lambat laun mereka akan berada di sana (kelompok depan). Kita juga dapat melihat Honda kini semakin kuat," katanya.

Honda yang kini melangkah dari status konsesi kelas D ke C bagi tahun 2026, sedang giat memburu prestasi terbaik walaupun belum berjaya mengulangi pencapaian podium tahun lalu.