HUJAN Lebih Baik - Helmi Azman
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/30/20241 min read


BERAKSI buat kali kedua menerusi slot 'wildcard' di perlumbaan Moto2 Grand Prix (GP) Malaysia di Sepang minggu ini, pelumba negara Helmi Azman berharap penampilannya kali ini membuahkan keputusan yang lebih baik.
Malah, pelumba yang beraksi bersama pasukan PETRONAS Mie Racing RW itu turut meletakkan harapan tinggi untuk mengintai penamat dalam kelompok pungutan mata.
Dan untuk mendapatkannya, pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu mengharapkan hujan akan turut untuk beraksi dalam keadaan litar basah pada perlumbaan Moto2.
Pada musim lalu, Helmi yang bergandingan dengan rakan baiknya, Azroy Hakeem Anuar menamatkan di luar pungutan mata di tangga ke-23 daripada 31 pelumba.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS dan Honda kerana memberikan saya peluang ini," kata Helmi yang menggunakan nombor 55 kali ini berbanding nombor tradisinya, 32.
"Ini adalah penampilan kedua saya selaku pelumba 'wildcard' di GP Malaysia selepas tahun lalu. Jadi untuk kali ini, saya boleh dikatakan mempunyai pengalaman untuk berlumbaan menggunakan jentera Moto2.
"Jadi pada tahun ini saya mahu merapatkan jurang dengan pelumba-pelumba di depan malah berharap untuk dapat mengutip mata. Untuk itu, saya berharap hujan akan turun ketika perlumbaan nanti.
"Jentera Moto2 adalah jentera yang jauh berbeza dengan motosikal produksi yang saya gunakan untuk berlumba dalam kelas SuperSport 600 di Kejuaraan Motosikal Asia.
"Casisnya jauh lebih keras dan geometrinya juga berbeza. Tetapi berbanding tahun lalu, saya mempunyai pengalaman pada tahun ini jadi saya berharap dapat bertambah baik," kata.
Tahun ini, selain Helmi, turut beraksi secara 'wildcard' di Sepang adalah bekas pelumba Moto3 dan Moto2 negara, Khairul Idham Pawi.
