HUJAN Rencat Sesi Ujian Moto3 Hakim Danish di Portugal
Keadaan litar yang sentiasa basah di Portimao mengehadkan masa tunggangan Hakim Danish sekali gus menyukarkan pasukan melaksanakan pelan ujian menyeluruh bersama pasukan MT Helmets-MSi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/11/20261 min read


SESI ujian rasmi pra-musim Moto3 di Litar Algarve, Portimao, Portugal yang turut membabitkan pelumba negara, Hakim Danish Ramli selama dua hari yang berakhir, semalam tidak berjalan seperti dirancang apabila hujan berpanjangan menjejaskan keseluruhan jadual ujian.
Keadaan litar yang sentiasa basah mengehadkan masa tunggangan sekali gus menyukarkan pasukan melaksanakan pelan ujian menyeluruh.
Sudah melakukan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal menjelang musim baharu, Hakim Danish nyata sedikit kecewa kerana tidak berpeluang memaksimumkan sesi berkenaan.
Tetapi pelumba kelahiran Terengganu itu bersama pasukannya tetap memanfaatkan peluang dengan mengumpul data penting dalam keadaan litar basah sebagai sebahagian daripada persediaan teknikal menghadapi musim kompetitif.
Ujian pra-musim seterusnya akan berlangsung di Jerez, Sepanyol pada 17 dan 18 Februari ini. Ia menjadi peluang penting untuk pasukan memperkukuh persiapan sebelum membuka tirai musim di Litar Buriram, Thailand dari 27 Februari hingga 1 Mac 2026.

