HUSQVARNA Debut 'Naked' Paling Berkuasanya Svartpilen 801 (2024), RM 51.6k!

TERKINI

3/22/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal Sweden namun milik Austria, Husqvarna secara rasmi melancarkan model 'Naked' paling berkuasa pernah dihasilkan jenama itu Husqvarna Svartpilen 801 (2024).

Secara mudahnya, Husqvarna Svartpilen 801 (2024) adalah model pengganti kepada Svartpilen 701 dan 'abang' kepada dua lagi model Husqvarna Svartpilen 401 dan 250 yang turut dijual di Malaysia.

Seperti dijangka, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 799 cc, 2 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap dengan klac 'Slipper'.

Dan jika maklumat ini biasa didengar, ia adalah enjin yang sama digunakan oleh KTM terhadap model 790 jenama itu.

Angka kuasa yang dihamburkan pula adalah 105 Hp dan tork 87 Nm yang memberi makna ia juga lebih berkuasa berbanding KTM 790 Duke.

Menggunakan kerangka jenis tubular ‘steel tubular’, Husqvarna Svartpilen 801 dipadankan dengan sistem suspensi jenama WP Apex (fork USD - depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang) boleh laras.

Menjana sistem henti adalah brek cakera berkembar bersaiz 300 mm dengan kaliper J Juan 4 Piston (depan) dan cakera tunggal 240 mm kaliper 1 Piston (belakang).

Ia lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Cornering ABS dan mod Supermoto ABS dengan menyahaktifkan ABS belakang.

Menggunakan sistem 'Ride-by-wire', Husqvarna Svartpilen 801 (2024) turut dipadankan dengan pelbagai teknologi moden merangkumi tiga mod tunggangan - Rain, Street, Sport – dengan mod Dynamic datang sebagai pilihan.

Turut datang secara standard adalah sistem Kawalan Traksi dan 'Quickshifter' tetapi untuk mengaktifkan beberapa lagi ciri seperti 'Kawalan Wheelie' dan Kawalan Jelajah, pakej Dynamic diperlukan.

Sebagai motosikal moden, Husqvarna Svartpilen 801 turut dipadankan dengan panel meter jenis TFT bersaiz 5 inci yang lengkap dengan ciri sambungan ke telefon bimbit menerusi aplikasi Ride Husqvarna.

Informasi lain adalah seperti berat 181 kg, jarak lega bumi 174 mm, ketinggian pelana 820 mm dan tangki bahan api berkapasiti 14 liter.

Untuk harga, angka yang diletakkan oleh Husqvarna adalah 10,899 USD (RM 51,636) tetapi harga berkenaan adalah untuk pasaran Amerika Syarikat.