IMEJ 'Lengkap' BMW R 1300 GS (2024) Terdedah, Ada Faktor 'X', Betul Ke?

TULAR

9/26/20231 min read

BMW Motorrad dijadual melancarkan generasi terbaharu motosikal 'Adventure Touring' maha popularnya dikenali BMW R 1300 GS (2024) minggu ini.

Sebelum pendedahan secara rasmi dibuat, pihak BMW Motorrad sendiri mengeluarkan beberapa 'teaser' di laman media sosialnya membabitkan gambar 'sipi' dan 'siluet' motosikal berkenaan.

Tetapi tidak diketahui daripada sumbernya atau bagaimana ia diperoleh, muncul imej 'lengkap' yang didakwa motosikal berkenaan, baru-baru ini di laman sosial.

Berdasarkan imej yang ditularkan itu, dapat dilihat rekaan BMW R 1300 GS (2024) sememangnya mengalami perubahan besar-besaran.

Dan yang mungkin paling mengejutkan adalah di bahagian lampu utama yang kini tampil dengan rekaan 'X'.

Daripada gambar yang diperoleh juga, apa yang menarik adalah ia tidak nampak seperti terhasil menggunakan program 'AI’ dan cukup 'real' terutama membabitkan perincian motosikal berkenaan dan dibandingkan dengan imej 'spyshot' sebelum ini.

Malah, ia juga selari dengan kata-kata BMW Motorrad sendiri iaitu BMW R 1300 GS akan dipadankan dengan enjin, kerangka dan gaya serba baharu.

Untuk kepastian, kita tunggu saja pelancaran rasmi yang dijadual 28 September ini (5 pm CEST - 11.30 pm waktu Malaysia) dan kami di MotoDotMy akan turut melaporkannya.