IMPIAN Pedro Acosta

Keputusan di Aragon dalam pada itu melebarkan satu rekod yang kurang digemari Pedro Acosta dengan dia kini memegang rekod sebagai pelumba yang paling banyak menaiki podium dalam kelas perdana iaitu sebanyak 14 kali, namun belum pernah merangkul sebarang kemenangan Grand Prix

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/31/20261 min read

PEDRO Acosta berharap dapat meninggalkan pasukan Red Bull KTM dengan kemenangan dan menjadikan litar di rantau Asia termasuk Malaysia sebagai sasaran utamanya untuk bergelar juara.

Pelumba Sepanyol itu berjaya mempamerkan tunggangan berkualiti apabila berjaya menamatkan saingan Grand Prix (GP) Aragon di tempat kedua.

Meskipun tidak bergelar juara, Acosta yang bakal menyertai Ducati Lenovo musim depan menerima tepukan gemuruh daripada peminat selepas berhempas-pulas memberikan cabaran dan tekanan kepada Marc Marquez yang tampil sempurna sepanjang perlumbaan.

Keputusan di Aragon dalam pada itu melebarkan satu rekod yang kurang digemari Acosta dengan dia kini memegang rekod sebagai pelumba yang paling banyak menaiki podium dalam kelas perdana iaitu sebanyak 14 kali, namun belum pernah merangkul sebarang kemenangan Grand Prix.

Apabila ditanya sama ada dia mengimpikan untuk meninggalkan pasukannya ketika ini dengan sekurang-kurangnya satu gelaran juara, pelumba berbakat besar itu bersikap realistik namun tetap optimis dengan peluangnya di Asia.

"Perkara itu (kemenangan) masih agak jauh buat masa ini, tetapi saya biasanya berlumba dengan baik di Jepun, Indonesia, dan mungkin di Malaysia.

"Malah, saya amat berharap akan ada beberapa perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar basah supaya saya boleh menjadi lebih kompetitif," kata Acosta.

Dalam pada itu, di sebalik kejayaan peribadinya di Aragon, Acosta mengakui masih wujud kebimbangan mengenai tahap kompetitif jentera KTM, lebih-lebih lagi apabila pelumba kedua terbaik KTM menamatkan perlumbaan sejauh 24 saat di belakangnya.

"Keadaan itu (jurang 24 saat) membuatkan saya berasa sedikit sedih. Saya gembira dengan prestasi dan tunggangan saya, tetapi kita perlu meningkatkan prestasi keseluruhan jentera."