INDIAN Motorcycle Kini Rasmi Di Pasaran Malaysia!
Selepas sekian lama menyepi, jenama motosikal ikonik dari Amerika Syarikat, Indian Motorcycle kini kembali mewarnai pasaran Malaysia di bawah edaran rasmi Spirit Lake Motor Sdn. Bhd yang juga anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI)
PELANCARAN
6/21/20251 min read


JENAMA motosikal bergaya 'kruiser' ikonik dari Amerika Syarikat (AS), Indian Motorcycle akhirnya kembali mewarnai pasaran Malaysia.
Sebagai antara jenama motosikal tertua di AS dan diasaskan pada tahun 1901, hak pengedaran tunggal dan eksklusif Indian Motorcycle di Malaysia kini dipegang oleh Spirit Lake Motor Sdn. Bhd, syarikat di bawah kumpulan AFY Mobility Industries (AMI).
Seperti diketahui, AMI sememangnya memiliki pengalaman luas dalam industri dua roda di pasaran tempatan yang menyaksikan Indian Motorcycle bakal tampil dengan visi yang lebih jelas dan komitmen jangka panjang.
Sempena pelancarannya, hari ini, Indian Motorcycle Malaysia turut menayangkan beberapa model yang akan diperkenalkan di pasaran seperti Chieftain Dark Horse, Springfield Dark Horse, Scout, Scout Bobber Twenty, Scout Rogue dan Scout Bobber.
Dan selain bilik pameran Indian Motorcycle Malaysia yang terletak di Petaling Jaya, syarikat itu juga akan membangunkan pusat 3S (Jualan, Servis, dan Alat Ganti) yang lengkap sebagai hab gaya hidup untuk peminat motosikal berkenaan.
Menurut Indian Motorcycle Malaysia, mereka bukan sahaja akan menawarkan rangkaian produk premium, malah turut menyediakan pelbagai manfaat pemilikan menyeluruh termasuk perkhidmatan selepas jualan, alat ganti, sokongan teknikal, jaminan, dan pelesenan barangan aksesori rasmi.
Pendekatan itu adalah untuk memastikan pengalaman pemilikan penuh yang lancar dan sempurna buat semua pemilik Indian Motorcycle di negara ini.
Sebagai anak syarikat kepada AMI, Spirit Lake Motor turut membawa bersama kredibiliti pasukan pengurusan dengan puluhan tahun pengalaman dalam industri dua roda di Malaysia.
Justeru selain didokong oleh legasi pengurusan serta edaran tempatan yang dipercayai, mereka juga akan mendapat sokongan rangkaian antarabangsa.
Apa yang menarik, menurut AMI, ia bukan saja satu pencapaian penting dalam perkembangan jenama Indian Motorcycle di Malaysia, malah rantau Asia Tenggara.














