INI 4 Alasan Ducati Pilih Marc Marquez Berbanding Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
1/25/20251 min read


PENGURUS Ducati Lenovo, Davide Tardozzi menjelaskan keputusan untuk memilih sama ada Marc Marquez atau Jorge Martin sebagai amat sukar.
Malah katanya, pengurusan tertinggi Ducati Corse memerlukan tempoh sehingga berbulan-bulan untuk membuat pilihan sebelum keputusan dicapai pada Jun tahun lalu.
Seperti dijangka, Ducati Corse memilih juara dunia lapan kali, Marquez berbanding Martin yang akhirnya dinobat sebagai juara selepas kempen 2024 berakhir.
Dan bagi Tardozzi, ada empat sebab utama mengapa pengeluar Itali itu memilih Marquez berbanding Martin.
"Keputusan untuk memilih sama ada Jorge dan Marc adalah sukar dan amat sulit," kata Tardozzi kepada El Periodico.
"Ia membabitkan proses berfikir, berfikir semula selama beberapa hari, minggu dan berbulan, di Ducati, di antara kami semua.
"Kami memutuskan untuk menawarkan tempat itu kepada Marc kerana kami berfikir dia boleh memberikan kami lebih banyak pengalaman, karisma, kelajuan dan pengetahuan mengenai kategori itu berbanding Jorge.
"Semua orang di paddok mengenali yang Marc adalah Marc bukan."
Kputusan 'menyisihkan' Martin menyaksikan mereka kehilangan plat nombor '1' kepada Aprilia tetapi bagi Ducati, mereka sudah pun bersedia.
"Pertama sekali, terima kasih tidak terhingga kepada Jorge Martin atas apa yang dia berikan kepada kami," kata Tardozzi.
"Kedua, Ducati sentiasa, sentiasa bekerja keras bagi memberikan Martin peluang menjuarai gelaran. Dan yang ketiga, kami tidak kisah, jika Jorge mengambil gelaran, jadi nombor '1' pergi ke Aprilia.
"Dengan menyatakan perkara ini, yang juga amat penting kepada kami dan Martin sendiri juga sudah mengucapkan terima kasih kepada kami secara umum, jadi kita boleh bercakap mengenai perkara ini."
