INI 4 Pelumba Disenarai Marc Marquez Ancaman Di Argentina
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/14/20251 min read


PELUMBA Ducati Lenovo, Marc Marquez terus 'mengganas' apabila menguasai hari pertama Grand Prix (GP) Argentina 2025 dengan turut memecahkan rekod terpantas litar yang dipegangnya sendiri sejak 2014.
Dan selesai sesi latihan bebas itu, juara dunia lapan kali itu yang diletakkan sebagai pilihan susulan prestasi cemerlang di Thailand menyenaraikan empat pelumba yang dilihatnya sebagai 'ancaman' dalam usahanya meraih kejayaan di Termas de rio Hondo.
"Alex (Marquez) sekali lagi amat kuat di sini, dan dia akan berada di sana," kata Marc kepada MotoGP.com.
"(Fabio) Di Giannantonio juga melakukan catatan sepusingan yang baik, dari sudut kelajuan dia sedikit di depan tetapi saya fikir ia hampir.
"Pecco (Bagnaia), sekalipun terjatuh dia masih pantas dan kemudian (Marco) Bezzecchi.
"Bzzecchi kita tahu menang di sini pada 2023, dan Aprilia turut mencatatkan keputusan yang baik di sini sebelum ini. Jadi saya menjangkakan cabaran yang sengit daripada Bezzecchi.”
Buat Marquez, ini adalah penampilan semulanya di Termas de rio Hondo sejak kali terakhir berlumba di litar berkenaan pada 2019 dan lebih menyukarkan bersama jentera baharu Ducati berbanding Honda.
Justeru, pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui dia agak bergelut pada sesi latihan pertama sekalipun mencatatkan masa terpantas.
Ketika ditanya mengenai rekod yang dipecahkannya, Marquez berkata sasaran utamanya adalah untuk memulakan perlumbaan di barisan depan.
"Kelajuannya bagus, dengan tayar jenis medium dan lembut dan saya juga merasa baik dengannya. Serangan masa pula sentiasa istimewa. Amat penting untuk kami memulakan perlumbaan di petak depan."
